Anda di sini

Penerbangan 737 Air China dikurangkan gara-gara vape

Advertisement

SHANGHAI: Pihak berkuasa China telah mengurangkan penerbangan pesawat 737 oleh syarikat penerbangan utama Air China selain menarik balik lesen juruterbang kru kokpit yang terbabit dalam satu kecemasan di udara disebabkan oleh asap vape seorang pembantu juruterbang, kata media kerajaan semalam.

Sebuah pesawat 737 Air China melakukan penurunan kecemasan yang pantas pada minggu lepas setelah pembantu juruterbang dengan silap menutup sistem pendingin hawa dalam usaha untuk menyembunyikan asap e-rokoknya.

Insiden itu, yang menyebabkan pengeluaran topeng oksi-gen penumpang, berlaku dalam penerbangan dari Hong Kong ke kota timur laut Dalian.

Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) sudah mengurangkan penerbangan pesawat 737 bagi syarikat penerbangan itu sebanyak 10 peratus dan mengarahkannya untuk menjalani kerja pembaikan keselamatan selama tiga bulan, kata China Central Television (CCTV).

Badan pemantau penerbangan itu turut mendenda Air China sebanyak 50,000 yuan (RM37,750).

Pesawat Boeing 737 merupakan lebih 40 peratus daripada armada pesawat Air China setakat hujung tahun lepas, laporan syarikat menunjukkan.

Saham Air China jatuh lebih dua peratus di Shanghai pada pagi semalam selepas hukuman itu diumumkan.

CAAC menyatakan drama itu tercetus apabila pembantu juruterbang, yang cuba menghalang asap vape daripada menular ke dalam kabin utama, tanpa sengaja menutup pendingin hawa.

Ia menyebabkan penurunan dalam paras oksigen kabin yang seterusnya menghidupkan sistem amaran kecemasan yang menunjukkan jet itu mungkin telah terbang terlalu tinggi dan mengarahkan juruterbang untuk turun dengan cepat.

Merokok tidak dibenarkan di atas pesawat penerbangan penumpang komersil di China.

Laporan media China memetik penumpang dan laman penjejak penerbangan sebagai berkata pesawat itu mungkin telah turun dengan cepat sejauh beberapa ribu meter.

Tiada kecederaan dialami 153 penumpang dan sembilan kru pesawat terbabit, kata CAAC. — AFP

Advertisement