Anda di sini

Pemuda disyaki ceroboh rumah jiran diberkas

Advertisement
 Suspek kes ceroboh rumah dibawa ke CPS Miri untuk tindakan selanjutnya.
TUMPAS: Suspek kes ceroboh rumah dibawa ke CPS Miri untuk tindakan selanjutnya.

MIRI: Seorang lelaki berusia 30-an ditahan polis selepas disyaki menceroboh rumah jirannya di Desa Murni Bandar Baru Permyjaya di sini semalam.

Suspek berjaya ditangkap sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kira-kira jam 3.30 petang.

Tangkapan ke atas suspek dibuat berikutan laporan polis yang dibuat pemilik sebuah rumah yang mendakwa seorang lelaki memasuki rumah mereka sekitar jam 7.30 pagi.

Kelibat suspek di dalam rumah itu yang sedang membuka salah satu laci di bilik itu disedari anak kepada pemilik rumah berkenaan.

Suspek dikatakan berjaya melarikan diri melalui lubang siling pada bahagian tandas rumah selepas anak pemilik rumah menjerit melihat kelibat suspek.

Sejurus itu, pemilik rumah kemudiannya membuat laporan polis di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Kurang daripada tempoh kira-kira enam jam selepas laporan dibuat, polis akhirnya berjaya memberkas suspek terbabit.

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat (CPS) Miri untuk siasatan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement