Anda di sini

Pelan induk dirangka jadikan Sarawak pengeksport utama produk makanan

Advertisement

KUCHING: Pelan induk sedang dirangka untuk meletakkan Sarawak sebagai pengeksport utama produk makanan di Malaysia menjelang 2030 serta meningkatkan ketidakupayaan tahap barangan makanan utama iaitu beras, daging lembu, kambing dan produk tenusu.

Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia juga akan membabitkan kerjasama rapat antara Kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan untuk memastikan matlamat tersebut dicapai.

“Kementerian saya dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di peringkat persekutuan sedang mengusahakan mekanisme tersebut dengan membentuk jawatankuasa bersama untuk menangani semua perkara yang berkaitan dengan pembangunan pertanian termasuk isu pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Selaras dengan matlamat tersebut, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah bahawa kementeriannya juga mengambil langkah mempercepat dan meningkatkan pengeluaran nanas, durian, kelapa dan pisang.

“Jenis buah ini telah menunjukkan potensi terbesar untuk dikembangkan lagi bagi memenuhi permintaan pasaran yang meningkat di dalam dan luar negara,” katanya.

Menurut beliau, pada masa ini Sarawak telah berjaya mengeksport 16 tan pes durian beku ke China, yang penghantaran pertama dilakukan pada Mac tahun ini.

“Untuk tahun 2018, Kerajaan Sarawak menyasar untuk menghasilkan 60 tan pes durian mentah yang memerlukan sekurang-kurangnya 300 tan durian tempatan yang segar,” katanya.

Manakala bagi eksport nanas, kelapa, pisang dan madu kelulut, beliau berkata kementeriannya masih dalam perbincangan dengan beberapa syarikat utama yang berpotensi.

Advertisement