Anda di sini

NIOSH gesa media terapkan amalan keselamatan pekerjaan kepada petugas

Advertisement
 Lee memakai pakaian dan alat keselamatan ketika demonstrasi menggunakan peralatan perlindungan diri untuk operasi menyelamat di ruang terkurung atau sempit pada Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk Pengamal Media di Ibu Pejabat NIOSH Wilayah Selatan, Taman Teknologi Johor semalam. — Gambar Bernama
PATUHI PIAWAIAN: Lee memakai pakaian dan alat keselamatan ketika demonstrasi menggunakan peralatan perlindungan diri untuk operasi menyelamat di ruang terkurung atau sempit pada Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk Pengamal Media di Ibu Pejabat NIOSH Wilayah Selatan, Taman Teknologi Johor semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Organisasi media digesa lebih proaktif dalam memastikan amalan keselamatan pekerjaan dipraktikkan oleh petugas mereka selain dilengkapi pengetahuan dan kemahiran berkaitan risiko pekerjaan, seiring dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata laporan yang diterima pihaknya mendapati bukan sahaja masih ramai majikan tidak mematuhi Akta 514, kesedaran dalam kalangan warga media itu sendiri masih pada tahap minimum.

“Lebih mendukacitakan apabila pihak majikan menganggap Akta 514 ini sebagai isu remeh dan tidak bersungguh-sungguh untuk menjadikan ia sebagai amalan di organisasi media masing-masing.

“Amat malang apabila ada antara pihak pengurusan atasan yang menyatakan dengan perasaan bangga bahawa ‘wartawan dan jurukamera kami masih sihat dan selamat’ walaupun mereka tidak mengikuti sebarang program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) berkaitan,” katanya kepada pemberita pada program KKP Bersama Media Johor, di sini semalam.

Katanya laporan Persekutuan Wartawan Antarabangsa menyatakan sekurang-kurangnya 81 wartawan terbunuh sepanjang tahun lepas ketika menjalankan tugas di lapangan menunjukkan risiko tinggi yang dihadapi pengamal media ketika bekerja.

Beliau berkata insiden tragis melibatkan jurukamera Bernama TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang meninggal dunia semasa  membuat liputan di Somalia pada 2011 contohnya, menunjukkan kepentingan Akta 514 dalam kalangan petugas media.

“Majikan perlu menyediakan Peralatan Perlindungan Personal seperti sarung tangan, jaket keselamatan, penutup muka, tali pinggang keselamatan dan banyak,” katanya. — Bernama

Advertisement