Anda di sini

Maxis catat untung bersih RM478 juta pada suku kedua

Advertisement

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencatatkan untung bersih yang lebih rendah iaitu sebanyak RM478 juta, disebabkan oleh perbelanjaan susut nilai yang lebih tinggi pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2018, berbanding RM572 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas.

Perolehan adalah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.33 bilion sebelumnya.

“Kami gembira kerana menyaksikan pertumbuhan yang kukuh untuk segmen pasca bayar dan kemajuan yang baik dalam pemulihan perniagaan prabayar,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Robert Nason dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, Maxis akan terus fokus kepada keberkesanan operasi dan melabur untuk kekal sebagai rangkaian unggul.

“Apa pun, kami berasa yakin dengan apa yang ditawarkan untuk pelanggan, di waktu kami menghasilkan lebih banyak pengalaman digital yang berkualiti untuk mereka,” kata Nason.

Untuk setengah tahun pertama 2018, untung bersih adalah sebanyak RM1.0 bilion berbanding RM1.07 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, manakala perolehan adalah sebanyak RM4.48 bilion berbanding RM4.71 bilion pada setengah tahun pertama 2017.

Pertumbuhan perkhidmatan berkembang sebanyak 1.7 peratus kepada RM2 bilion daripada RM1.98 bilion pada suku lepas, dipacu oleh momentum pertumbuhan yang kukuh bagi segmen pasca bayar kerana syarikat telekomunikasi itu berterusan berinovasi untuk produk yang berasaskan keluarga.

Segmen fiber rumah merekodkan pertumbuhan kukuh yang berterusan dengan peningkatan perolehan sebanyak 5.4 peratus pada suku berkenaan

Di sebalik keseluruhan pasaran yang sederhana, persaingan harga yang sengit, penyatuan SIM dan penghijrahan kepada pasca bayar, perolehan bagi segmen prabayar adalah stabil melalui pertumbuhan sebanyak 0.6 peratus kepada RM854 juta suku ke suku, dengan penurunan yang perlahan dalam pangkalan pelanggan,” kata Nason.

Beliau menyifatkan prestasi yang baik segmen prabayar adalah disebabkan oleh inisiatif pemasaran yang dilaksanakan dengan baik dan penggunaan yang berkesan data analitik yang membawa kepada pertumbuhan perolehan internet mudah alih yang kukuh.

Purata perolehan prabayar bagi satu pengguna, bagaimanapun kekal stabil kepada RM42 sebulan.

“Kami kekal sebagai pemimpin rangkaian, melalui rangkaian 4G LTE terpantas di negara ini yang meliputi 92 peratus daripada jumlah penduduk,” tambahnya. — Bernama

Advertisement