Anda di sini

MAA turunkan sasaran TIV sebanyak 5,000 unit susulan SST

Advertisement
 Aishah semasa sidang media mengenai Kajian Perdagangan dan Pengeluar Motor bagi 1H 2018 di MAA Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam. — Gambar Bernama
KAJIAN: Aishah semasa sidang media mengenai Kajian Perdagangan dan Pengeluar Motor bagi 1H 2018 di MAA Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menurunkan kadar sasaran Jualan Keseluruhan Industri (TIV) kepada 585,000 unit pada tahun ini berbanding 590,000 unit yang diunjurkan sebelum ini susulan kebimbangan mengenai pengenalansemulaCukai JualandanPerkhidmatan (SST).

Presiden Datuk Aishah Ahmad berkata, berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), SST akan menyebabkan kenaikan harga kebanyakan model kenderaan, sekali gus mengurangkan permintaan.

Oleh itu, kebanyakan model akan menyaksikan kenaikan harga.

“Bagi tempoh Jun hingga Ogos, terdapat banyak permintaan untuk mendaftarkan kenderaan berikutan harga lebih rendah.

“Namun, dari September dan seterusnya, saya yakin akan lembap sedikit. Jika harga meningkat, ia akan memberi kesan kepada jualan,” katanya pada sidang media mengenai prestasi industri automotif di sini semalam.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, TIV kenderaan baharu meningkat 1.8 peratus kepada 298,714 unit berbanding 284,453 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Prestasi semakin baik itu disumbangkan oleh segmen kenderaan penumpang yang meningkat sebanyak 2.1 peratus atau 5,295 unit, manakala segmen komersial mencatatkan penurunan yang amat kecil sebanyak 0.1 atau 34 unit.

Aishah berkata, sehingga kini jualan tertinggi kenderaan direkodkan pada Jun dengan TIV melonjak 50.1 peratus kepada 64,502 unit berbanding 42,983 unit pada Mei.

“Peningkatan yang tinggi ini berlaku kerana permintaan terhadap kenderaan meningkat selepas penurunan harga, dengan GST pada kadar sifar, selain promosi menarik Hari Raya dan tawaran oleh anggota MAA,” jelasnya.

Mengulas mengenai kerjasama Proton dengan Indonesia untuk menghasilkan kereta ASEAN, beliau berkata pengeluar perlu memastikan model kenderaan yang dihasilkan diterima oleh semua negara anggota.

“Penting untuk memastikan pengeluar kereta Indonesia menyokong idea model ASEAN bagi mengelak sebarang sekatan eksport oleh negara itu,” katanya.

 Aishah juga percaya Malaysia tidak memerlukan kereta nasional lain memandangkan industri automotif tempatan telah membangun berbanding semasa Proton mula diperkenalkan.

“Jika anda melihat negara ASEAN lain, tiada negara yang mempunyai kereta nasional tetapi Thailand dan Indonesia mencatat prestasi yang baik.

“Kita juga tidak mempunyai ekonomi bidangan. Industri kita hanya mempunyai 585,000 (TIV) dan untuk melaksanakan projek kereta nasional, kita perlu bekerjasama dengan pengeluar bertaraf dunia yang ingin melabur di Malaysia,” katanya. — Bernama

Advertisement