Anda di sini

Lima PATI cuba menyusup keluar ditahan

Advertisement

TAWAU: Cubaan lima lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup keluar dari negara ini gagal apabila ditahan anggota pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) serta Unit Risik Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut Tanjung Batu di sini, kelmarin.

Komander ESSCom, DCP Datuk Hazani Ghazali berkata sewaktu operasi unit kecil ESSCom pada jam 6.50 pagi itu, pihaknya terserempak sebuah bot laju yang kelihatan mencurigakan bergerak dari pantai Tanjung Batu menuju ke Pulau Sebatik, Indonesia.

“Ketika dihampiri, bot itu memecut melarikan diri, namun terkandas di Pantai Tanjung Batu.

“Dalam kejadian itu turut kelihatan juragan bot terjun meloloskan diri ke daratan manakala lima lelaki warga Indonesia berumur antara 17 dan 47 tahun yang berada di dalamnya tidak memiliki dokumen diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Hazani berkata pihaknya turut menyita bot laju jenis kayu dan kesemua tahanan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut. — Bernama

Advertisement