Anda di sini

Liga Super: Terengganu akur kutip satu mata

Advertisement
 Baddrol Bakhtiar (tengah) menjaringkan gol pertama skuad Lang Merah pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin. — Gambar AFP
GOL!: Baddrol Bakhtiar (tengah) menjaringkan gol pertama skuad Lang Merah pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin. — Gambar AFP

ALOR SETAR: Pasukan Terengganu terpaksa berpuas hati selepas berjaya mengutip satu mata sahaja, meskipun lawan mereka, Kedah tidak dibarisi pemain utama.

Pengendali pasukan Terengganu Irfan Bakti Abu Salim menzahirkan kekecewaannya ke atas skuad Penyu itu apabila gagal mengutip mata penuh di Stadium Darul Aman kelmarin.

“Pasukan Kedah tak kuat malam tadi (kelmarin) kerana mereka tiada banyak pemain utama, namun pemain kita tidak ambil kesempatan ke atas kelemahan mereka dan hanya mampu sekadar seri,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata pasukannya tidak berputus asa dan akan terus berusaha  memperbaiki kedudukan dalam liga.

“Kedua-dua pasukan ada peluang sebenarnya dan saya tidak akan berputus asa untuk mengutip enam mata daripada dua baki perlawanan lagi selepas ini kerana kita juga bersaing bagi memperbaiki kedudukan,” katanya ketika ditemui sejurus perlawanan berakhir.

Sementara itu, Kedah yakin dapat mencapai sasaran untuk berada pada tangga empat teratas Liga Super musim ini, meskipun tanpa beberapa tonggak utama pasukan.

Pengendalinya Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata kelemahan itu akan dapat diatasi dengan peningkatan prestasi pemain muda dalam perlawanan akan datang.

“Kita optimis dengan prestasi pemain muda dan pemain yang akan dibawa daripada skuad Piala Presiden untuk mengisi kekosongan ini berikutan kecederaan pemain-pemain ini,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin.

Antara pemain yang mengalami kecederaan ialah penjaga gol utama Mohd Ifwat Akmal Che Kassim, pemain import dari Indonesia Andik Vermansyah dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid serta perancang Kedah Liridon Krasniqi.

Gol Kedah dijaringkan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-43, manakala gol pasukan pelawat menerusi Mohamad Kamal Azizi Mohd Zabri pada minit ke-61.

Dalam tangga liga, Kedah kini berada pada tempat ketiga dan Terengganu keempat berkongsi 31 mata di bawah Perak dan Johor Darul Ta’zim.

Kedah akan menentang pencabar terdekat Perak Ahad ini manakala Terengganu bakal menentang Kelantan pada Isnin. — Bernama

Advertisement