Anda di sini

Liga Betong 2018, Piala YB Uggah dijangka berlangsung bulan depan

Advertisement
 Kloni merakamkan gambar bersama exco BDFA selesai mesyuarat tersebut.
UNTUK ALBUM: Kloni merakamkan gambar bersama exco BDFA selesai mesyuarat tersebut.

BETONG: Peminat bola sepak tempatan dipelawa menyertai Kejohanan Liga Betong 2018 dan Piala YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang dijangka berlangsung bulan depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Betong (BDFA) Nelson Kloni Kanang berkata, pertandingan kali ini menawarkan hadiah-hadiah lumayan.

“Kami (BDFA) telah berbincang dan bersetuju menganjurkan kejohanan yang dijangka bermula pertengahan bulan Ogos nanti.

“Itu pun bergantung kepada kesempatan pihak jawatankuasa mengurus dan melengkapkan segala syarat yang dipersetujui, selain memberi peluang mana-mana pasukan yang berhasrat untuk mengambil bahagian membentuk pasukan mantap.

“Ini kerana syarat yang dipersetujui juga lebih terbuka bagi penyertaan pemain.

“Apapun syarat yang telah dirangka, ia tidak akan lari daripada panduan yang digariskan selain merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sebagai badan induk persatuan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mesyuarat penganjuran kejohanan tersebut di sini, malam kelmarin.

Mesyuarat tersebut juga membincangkan banyak perkara yang melibatkan penganjuran kejohanan bola sepak dan futsal di peringkat bahagian Betong dan penyertaan dalam program-program anjuran FAS dan agensi-agensi berkaitan berkenaan sukan tersebut.

Antara lain penganjuran Liga Bola Sepak Veteran, Karnival Bola Sepak Wanita, Kejohanan Futsal Piala Parlimen Betong dan penyertaan dalam program kejurulatihan, serta penganjuran kursus kepengadilan dan kejurulatihan futsal.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Abang Soehardie Abang Zaini, Setiausaha Kehormat Saiful Hanizam Suhaini dan Bendahari Saleman Senin.

Advertisement