Anda di sini

Kemuka rayuan kes Dr Ting demi integriti Dewan

Advertisement
 Karim dan Abdullah pada sidang media susulan keputusan Dewan Undangan Negeri meluluskan usul untuk membawa kes Dr Ting ke Mahkamah Persekutuan.
DEMI KESUCIAN DEWAN: Karim dan Abdullah pada sidang media susulan keputusan Dewan Undangan Negeri meluluskan usul untuk membawa kes Dr Ting ke Mahkamah Persekutuan.

KUCHING: Keputusan untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon bukan berniat peribadi, juga bukan penganiayaan politik.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sebaliknya ia mengenai kuasa dan tanggungjawab Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam memelihara integritinya.

“Ketika mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan, semua orang daripada kita telah berikrar bahawa kita akan memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan negeri Sarawak,” katanya ketika membentangkan Usul Rayuan Keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Julai 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Seramai 68 ADUN mengundi menyokong usul itu.

Usul yang diluluskan itu, membolehkan Peguam Besar Sarawak atau mana-mana peguam dalam kamarnya mewakili Dewan Undangan Negeri dalam soal rayuan kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

Antara isu dibawa kepada Mahkamah Rayuan, adakah ADUN Pujut memiliki kewarganegaraan Australia, telah dibatalkan kelayakan daripada menjadi ahli Dewan Undangan Negeri.

Adakah tindakan beliau membuang kewarganegaraan negara lain mempunyai kesan ‘penawar’ hilang kelayakannya.

Menurut Karim lagi, dua hakim Mahkamah Rayuan yang mengadili kes berkenaan menyatakan tindakan memohon kewarganegaraan lain mempunyai kesan dalam membatalkan kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Lebih penting, dua hakim itu tidak bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dan soal hilang kelayakan adalah berterusan dan tidak dapat diperbaiki,” ujarnya.

Beliau menegaskan lagi, hakim kes ini berpendapat adakah Dewan Undangan Negeri memiliki kuasa untuk menolak kelayakan Dr Ting sebagai ahlinya.

Meskipun dengan undian majoriti ahli Dewan, mahkamah memutuskan Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk bertindak demikian.

“Keputusan ini membawa pengertian, meskipun Dewan ini maklum tentang seseorang ahlinya tidak layak, menerusi pelbagai penyebab, Dewan ini tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Usul tersebut disokong oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol yang berkata isu ini adalah mengenai keistimewaan Dewan menentukan keahliannya dan kelayakan untuk dipilih sebagai ahli.

Sambil menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, beliau berkata keputusan untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan agar doktrin pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dapat dilihat lebih jelas.

Beliau menambah, isu mengenai perlembagaan ini amat mustahak agar dapat memberi panduan lebih jelas daripada aspek perundangan.

“Usul ini bertujuan bukan untuk menentukan nasib ADUN Pujut, tetapi untuk kegunaan menyelesaikan isu perlembagaan yang timbul susulan keputusan mahkamah dimulakan beliau sendiri,” katanya.

Pada sidang media, Karim yang disertai Abdullah berkata ADUN daripada DAP mempersoalkan tentang pembaziran duit cukai rakyat dalam pengurusan isu ini dan jika pilihan raya kecil diadakan di Pujut.

Tetapi mereka tidak sedar ia juga pembaziran jika mereka yang tidak layak menjadi ADUN diberikan elaun, katanya.

Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 13 Julai 2018 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Dr Ting sebagai ADUN Pujut.

Keputusan dicapai apabila Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta Harmindar Singh Dhaliwal bersetuju menolak rayuan Asfia dan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh yang tiada bidang kuasa untuk memutuskan pembatalan kelayakan Dr Ting kerana faktor penyingkiran tersebut berlaku sebelum pilihan raya.

Abang Iskandar ketika membacakan penghakiman berkata DUN Sarawak bukanlah forum yang sewajarnya untuk memutuskan berkenaan keanggotaan Dr Ting mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan Speaker DUN itu telah silap mengguna pakai Perkara 17(1)(g) Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Keputusan yang dicapai oleh 70 ADUN mengundi dan menyokong usul dikemukakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh semasa Persidangan DUN Sarawak tahun lepas adalah terbatal dan tidak sah,” katanya.

Manakala Hakim Mary Lim Thiam Suan pula dalam penghakimannya berkata Dr Ting jelas tidak mempunyai kelayakan untuk dipilih sebagai ADUN kerana beliau telah mengambil kewarganegaraan Australia.

“Penolakan Dr Ting sebagai kewarganegaraan Australia juga tidak melayakkan beliau menjadi wakil rakyat kerana beliau telah bersumpah setia untuk menjadi warganegara tersebut,” katanya.

Pada 12 Mei tahun lepas, DUN memutuskan melalui undi majoriti untuk menolak kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut kerana beliau memegang dua kerakyatan iaitu Australia dan Malaysia.

Dr Ting mendapat kembali kedudukannya sebagai ADUN Pujut melalui keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 17 Jun tahun lepas.

Mahkamah itu juga mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan bagi kerusi kawasan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement