Anda di sini

Inovasi hasilkan sistem pengajaran berkualiti, perlu diberi penekanan

Advertisement
 Gumbang menyampaikan cenderamata kepada Nasrudin (tiga kanan) sebagai tanda terima kasih, sambil disaksikan tetamu kehormat lain.
PENGHARGAAN: Gumbang menyampaikan cenderamata kepada Nasrudin (tiga kanan) sebagai tanda terima kasih, sambil disaksikan tetamu kehormat lain.

MIRI: Aspek inovasi perlu diberi penekanan bagi membina pedagogi pembelajaran abad ke-21 dalam proses mereka bentuk pengajaran berkualiti dan bukan hanya menumpukan kepada aspek prasarana fizikal sahaja.

Pengarah Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (PPPI) Institut Pendidikan Guru Malaysia Dr Mohd Nasrudin Basar berkata, inovasi merupakan suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baharu dan yang lebih baik.

“Ia (inovasi) dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend terkini dan menggunakan peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan, termasuk warga pendidik.

“Malah peranan warga pendidik sama ada guru atau pensyarah, memainkan peranan penting dalam menerapkan inovasi serta kreativiti dalam pengajaran mereka,” jelasnya.

Sebagai penyampai ilmu, warga pendidik perlu memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan pelbagai transformasi dalam menjana minda pelajar agar lebih dinamik.

Nasrudin berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Penyelidikan dan Inovasi Dalam Pendidikan 2018 (SPeDIP 2018), anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (IPGKS) Miri dengan kerjasama Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan serta Program Sokongan Pensarjanaan Pensyarah (PROSPEN) IPGKS di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah IPGKS Gumbang Pura, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Dr Ahmad Rafee Che Kassim, Profesor Madya Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah Dr Mohd Zaki Ishak, Pengerusi Seminar SPeDIP 2018 Chai Xin Ni serta tetamu kehormat lain.

Selain itu jelas Nasrudin, pendidikan abad ke-21 perlulah berteraskan elemen 4C iaitu ‘Critical Thinking’ (Pemikiran Kritis), ‘Communication’ (Komunikasi), ‘Collaboration’ (Kolaborasi) dan ‘Creativity’ (Kreativiti) dalam usaha mencapai kualiti pendidikan yang dihasratkan.

“Bersesuaian dengan tema kita iaitu Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), tranformasi pendidikan harus bermula dengan guru menerusi kesedaran sendiri, sifat positif dan keinginan membina ilmu serta kemahiran diri, selain berteraskan elemen 4C,” ujarnya.

Tambah beliau, strategi dan pendekatan itu penting termasuk dalam memastikan kemenjadian guru pelatih yang mampu memenuhi keperluan semasa dalam bilik darjah.

Terdahulu, Chai dalam ucapan alu-aluannya memberitahu, seminar tiga hari itu yang bermula semalam, bertujuan melahirkan siswa guru yang berupaya menjalankan kajian dan berkongsi hasil kajian dalam landasan pembentangan seminar.

Selain itu ujarnya, ia juga bagi mendedahkan kepada inovasi yang dapat mencanai minat guru pelatih kepada pembudayaan inovasi dalam bilik darjah.

“Melalui program ini, kita telah berjaya menghimpunkan 51 artikel, satu inovasi pedagogi dan enam inovasi muzik dengan penyertaan 322 termasuk 113 pembentang dari Sarawak, Sabah dan Selangor,” katanya.

Advertisement