Anda di sini

Dua pegawai bomba mengaku tidak salah minta, terima suapan

Advertisement

KANGAR: Dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan meminta dan menerima suapan sebanyak RM1,200 daripada seorang pengusaha salun tahun lepas.

Bagi tuduhan pertama, Yusmi Arshad, 46, dan Halid Hassan, 50, didakwa secara bersama meminta suapan daripada pengusaha salun sebagai dorongan bagi tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu, selepas disyaki melakukan kesalahan ubah suai premis yang boleh mendatangkan bahaya kebakaran.

Tertuduh, masing-masing bertugas sebagai Timbalan Penguasa Bomba dan Penolong Kanan Penguasa Bomba didakwa meminta suapan melalui panggilan telefon ke sebuah salun di Taman Pauh Indah, Arau dekat sini, pada 15 Ogos 2017.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Yusmi dan Halid juga berhadapan tuduhan kedua iaitu menerima suapan sebanyak RM1,200 bagi tujuan sama di premis yang sama pada 16 Ogos 2017 pada 12.12 tengah hari dan bagi kesalahan itu mereka turut didakwa di bawah seksyen yang sama.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Yusmi berhadapan satu lagi tuduhan iaitu cuba mendapatkan suapan bernilai RM1,000 melalui akaun bank isterinya daripada seorang lelaki lain yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi beliau.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pauh Indah, Arau pada 1.30 tengah hari, 15 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu Yusmi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau keduanya sekali.

Hakim Johari Hassan menetapkan jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Yusmi dan Halid, manakala Yusmi dikenakan jaminan tambahan sebanyak RM3,000 bagi tuduhan berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Hafiizh Abu Bakar, manakala Yusmi diwakili peguam Jamil Mohamed Shafie dan Halid diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Hakim menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement