Anda di sini

Cubaan seludup melalui jalan tikus tumpas

Advertisement
 Warga Indonesia yang ditahan dalam operasi tersebut.
CUBA SELUDUP: Warga Indonesia yang ditahan dalam operasi tersebut.

KUCHING: Cubaan menyeludup pelbagai barangan termasuk barangan kawalan ke negara jiran menggunakan 15 motosikal berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA), pagi kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 (BN11) PGA Superintenden Rosdi Inai berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan tersebut daripada orang awam dan terus melancarkan operasi di Kampung Mongkos, Serian sekitar jam 10 pagi.

Menurutnya, seramai 15 lelaki warga Indonesia berjaya ditahan dalam operasi tersebut ketika cuba menyelinap keluar melalui laluan tikus yang menghubungkan Kampung Seguman di Indonesia.

“BN11 PGA Kuching membuat serang hendap di laluan tikus berkenaan dan berjaya menahan kesemua warga asing terbabit yang dipercayai aktif dalam penyeludupan barang-barang kawalan.

“Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 36 tahun. Sebanyak 19 tong gas dan 28 guni ayam beku adalah barangan kawalan yang dirampas.

“Turut dirampas ialah 15 motosikal, 48 kotak ‘hotdog’ dan empat kotak minuman keras serta sekotak mikroskop yang keseluruhannya dianggarkan mencecah RM45,300,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Rosdi berkata, kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Kastam 1967.

“Kita akan sentiasa memantau perkara ini (penyeludupan barang kawalan) dan memohon orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada kita agar kegiatan ini dapat dibanteras terutamanya di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia,” tegasnya.

Sementara itu, BN 11 PGA turut berjaya merampas tiga laras senjata api menerusi Ops Libas di pejabat pengawal keselamatan sebuah ladang sawit di Lundu, sekitar tengah hari kelmarin.

Menurut Rosdi, seorang suspek berusia 53 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan.

“PGA melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan orang ramai dan semasa diserbu, lelaki (suspek) membawa senapang namun gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran menggunakan senjata api.

“Hasil pemerisaan di bilik pengawal berjaya menemui dua laras lagi senapang dengan jumlah keseluruhan bernilai mencecah RM18,000,” katanya.

Tambahnya, semakan PGA mendapati pemilik ladang kelapa sawit berkenaan memiliki kebenaran untuk membeli senapang, namun tidak mempunyai lesen untuk menggunakannya.

“Suspek serta senapang tersebut kemudian diserahkan kepada Balai Polis Lundu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Advertisement