Anda di sini

Cahill mahu jaminan Sarri diturunkan lebih kerap

Advertisement
CAHILL
CAHILL

LONDON, England: Kapten Chelsea, Gary Cahill, sedang menimbangkan untuk menamatkan tempoh enam tahun beliau di Stamford Bridge pada akhir bulan ini ketika kelab itu menghampiri pembelian Daniele Rugani dalam perjanjian bernilai 44.2 juta pound.

Dua bintang antarabangsa Belgium, Eden Hazard dan Thibaut Courtois sudah menyuarakan hasrat dalam temu bual selepas Piala Dunia di mana mereka mahu meninggalkan Chelsea tetapi ia difahamkan di mana Cahill juga mempunyai pandangan yang sama selepas kurang beraksi musim lepas.

Pemain pertahanan tengah itu, yang tiba dari Bolton dengan yuran perpindahan bernilai 7 juta pound pada Januari 2012 dan memenangi enam kejuaraan di Chelsea, hilang tempat dalam kesebelasan utama musim lepas.

Bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte, lebih berminat menurunkan Antonio Rudiger di posisi kegemaran Cahill di sayap kiri pada separuh kedua musim dan pemain berusia 32 tahun itu menghabiskan banyak masa di bangku simpanan untuk beberapa perlawanan terbesar Chelsea, termasuk dua perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Cahill menyuarakan kekecewaannya pada bulan April dengan memberitahu akhbar Standard Sport: “Ia sangat sukar. Ia sememangnya sukar apabila anda tidak bermain pada perlawanan penting, melihat pasukan tewas dan tidak dapat memberikan impak besar untuk pasukan.

“Orang boleh berkata sebagai kapten, anda masih mempunyai impak dalam bilik persalinan tetapi ia sukar apabila anda tidak bermain pada perlawanan penting itu.”

Dengan keputusan semakin buruk, Conte menurunkan semula Cahill pada akhir musim dan beliau ada membantu Chelsea memenangi Piala FA Inggeris pada bulan Mei.

Cahill sekarang sedang bercuti selepas beraksi bersama England di Piala Dunia 2018 di mana mereka melangkah ke peringkat separuh akhir dan beliau dipercayai mahu bercakap dengan pengurus baharu Chelsea, Maurizio Sarri sebaik sahaja kembali dari percutian.

Sarri mungkin mempunyai tugas sukar meyakinkan beliau untuk terus kekal.

Cahill ada memberitahu rakan rapatnya di mana beliau mahukan jaminan akan diturunkan lebih kerap berbanding musim lepas, dengan Conte hanya menurunkan beliau dalam 24 perlawanan Liga Perdana.

Ia mungkin satu masalah, dengan Chelsea difahamkan menghampiri usaha mendapatkan pemain pertahanan dari kelab Juventus, Rugani.

Kelab juga menunjukkan keinginan untuk mendapatkan kapten Newcastle, Jamaal Lascelles, sekali gus memberikan gambaran di mana benteng pertahanan Chelsea akan diperkuatkan dengan lebih dari seorang pemain baharu.

Sarri lebih suka bermain dengan empat pemain pertahanan, berbanding tiga di bawah bimbingan Conte dan ini bermakna saingan untuk slot dua pertahanan tengah akan meningkat.

Kelab masih mempunyai David Luiz sementara Cesar Azpilicueta sudah beralih ke posisi pertahanan kanan sejak dua musim terakhir.

Cahill mempunyai baki kontrak satu tahun lagi di kelab dan jika Chelsea menimbangkan untuk memberikannya kontrak lanjutan, ia kebiasaannya hanya untuk satu tahun kerana polisi ke atas pemain berusia lebih 30 tahun. — AFP

Advertisement