Anda di sini

31 juta pound yuran perpindahan Courtois dipersetujui, Hazard dijangka akan turut ke Santiago Bernabeu

Advertisement
COURTOIS
COURTOIS

MADRID, Sepanyol: Kelab gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid, dikatakan sudah mencapai satu persetujuan dengan Chelsea untuk mendapatkan penjaga gol Thibaut Courtois dengan nilai 31 juta pound.

Ia adalah dakwaan dari akhbar Perancis, RMC Sport, di mana kedua-dua kelab sudah mencapai kata putus mengenai yuran perpindahan.

Dan penjaga gol antarabangsa Belgium itu, yang dipilih sebagai penjaga gol terbaik di Piala Dunia 2018, dijangka akan diberikan kontrak empat tahun.

Courtois mempunyai baki kontrak semasa setahun di Chelsea.

Tiada lanjutan kontrak baharu kelihatan ditandatangani oleh bekas penjaga gol Atletico Madrid berusia 26 tahun itu, yang berminat untuk kembali ke Sepanyol.

Ketika Chelsea berdepan dengan kehilangan penjaga gol tanpa sebarang yuran perpindahan pada musim panas tahun hadapan, ini bermakna Real tidak perlu membayar sejumlah yuran yang terlalu besar pada musim panas ini.

Satu perjanjian bernilai 31 juta pound difahamkan sudah dipersetujui dan Courtois juga akan disertai rakan senegara dan sekelabnya, Eden Hazard di Real.

RMC Sport menambah Real menjadikan Hazard sebagai sasaran utama mereka selepas Cristiano Ronaldo mengesahkan perpindahan ke Juventus.

Dan ada dakwaan di mana satu persetujuan lisan sudah dicapai di antara Hazard dan pengurusan Real.

Bagaimanapun, tiada sebarang persetujuan tentang yuran perpindahan telah dicapai di antara Chelsea dan Real setakat ini.

Hazard menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Chelsea selepas berakhirnya Piala Dunia 2018 di mana Belgium menduduki tempat ketiga, apabila berkata “ia adalah masa yang sesuai untuk mencuba sesuatu yang berbeza”.

Ia tidak jelas siapa yang akan dicari oleh Chelsea untuk menggantikan Courtois, dengan pilihan utama mereka sebelum ini, Alisson dari AS Roma, menerima tawaran rekod dunia (untuk penjaga gol) dari Liverpool. — Reuters

Advertisement