Anda di sini

29 sekolah bakal pamer kehebatan

Advertisement
 Aksi pemain SMK Batu Lintang, Edward Ngui Shi Jie (kiri) dan Freddy Phang Kin Tung dalam kategori beregu lelaki menentang SMK Subis. Mereka menang mudah 21-6, 21-5.
TANGKAS: Aksi pemain SMK Batu Lintang, Edward Ngui Shi Jie (kiri) dan Freddy Phang Kin Tung dalam kategori beregu lelaki menentang SMK Subis. Mereka menang mudah 21-6, 21-5.

KUCHING: Persatuan Badminton Sarawak (SBA) menjangkakan saingan lebih menarik dalam Liga Remaja Kebangsaan BAM-AirAsia Pusingan Sarawak yang berlangsung dari 18 hingga 22 Julai 2018 di Dewan SBA, Jalan Lapangan Terbang Kuching.

Menurut Setiausaha Kehormat SBA, Abdul Hadi Kadir sambutan pada edisi kali ini lebih menggalakkan dengan sejumlah 29 sekolah dari seluruh negeri mengambil bahagian pada kejohanan selama lima hari itu.

“SBA bersama-sama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Jabatan Pendidikan Negeri sangat gembira dengan sambutan yang menggalakkan daripada sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dan semangat mereka tunjukkan memperlihatkan kejohanan ini semakin popular di kalangan sekolah-sekolah tempatan dan pelajar mereka,” katanya semalam.

Menurutnya, majlis penutupan dan penyampaian hadiah dijangka disempurnakan oleh Presiden SBA, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain pada 22 Julai.

Kategori remaja lelaki menarik penyertaan daripada 19 sekolah iaitu SM Riam, SMK Chung Hua (Miri), SMK Sacred Heart (Sibu), SMK Bandar Kuching No.1, SMK Kuching High, SMK Green Road, SMK Pending, SMK Jalan Arang, SMK Tung Hua, SMK Sungai Tapang, SMK Stampin, SMK Sungai Maong, SM Chung Hua No.1, Sekolah Swasta St Joseph, SMK Batu Lintang, SMK Semerah Padi, SMK Subis, SM Chung Hua No. 4 dan SMK St Joseph.

Manakala, penyertaan kategori perempuan terdiri daripada 10 pasukan iaitu SM Riam Miri, SMK Kuching High, SMK Green Road, SM Lodge School, SMK Tung Hua, SM Chung Hua No. 1, Sekolah Swasta St Joseph, SMK Batu Lintang, SMK St Teresa dan SMK Subis.

Peserta akan bersaing dalam acara perseorangan dan beregu di mana pusingan awal akan berlangsung sepanjang hari, manakala final akan berlangsung pada 22 Julai dengan pemenang akan menerima hadiah pada hari yang sama.

Ini kali kedua kejohanan remaja berprestij itu diadakan di Kuching selepas ia dilancarkan secara rasmi pada tahun lepas oleh Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria yang hadir di sini untuk majlis pelancaran yang dianjurkan oleh Menteri Muda Belia dan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.

BAM juga menggunakan acara tahun ini untuk mencungkil bakat pemain berpotensi bagi mewakili Sarawak di pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada masa akan datang.

Sementara itu, juara bertahan SMK Batu Lintang memulakan kempen dengan bergaya dalam acara lelaki semalam dengan menewaskan SMK Subis, 4-1.

Turut mencatat kemenangan pilihan kedua, SMK Kuching High selepas mudah menjinakkan SM Chung Hua No.4 dengan 5-0.

Ketika ini, perlawanan melibatkan pasukan perempuan sedang berlangsung.

  • oleh
  • Advertisement