Anda di sini

Video kereta hanyut kes lama

Advertisement
KERETA yang ditularkan hanyut di Sungai Babagon, Penampang.
KERETA yang ditularkan hanyut di Sungai Babagon, Penampang.

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tidak menerima sebarang laporan berkenaan video tular yang merakamkan kejadian sebuah kereta jenis sedan dihanyutkan arus semasa menyeberangi Sungai Babagon, di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata tiada sebarang laporan diterima berkenaan kes terbabit.

"Setakat ini, tiada panggilan diterima dan selepas disiasat, ia adalah kes lama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Video berdurasi kira-kira satu minit sembilan saat itu adalah rakaman yang berlaku pada 29 April lalu membabitkan lima sekeluarga.

Kesemua mangsa dipercayai nyaris lemas apabila kereta sedan dinaiki mereka dihanyutkan arus deras ketika melintasi jambatan di sungai terbabit.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk kampung yang sedang berkelah di Pusat Rekreasi Babagon.

Menurut saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Dunnysius, 23, kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang apabila beliau dan beberapa rakan menyedari jeritan orang awam yang melihat sebuah kenderaan hanyut di sungai berkenaan.

Mereka kemudiannya bergegas ke lokasi dan cuba menyelamatkan lima mangsa itu, namun kereta yang dinaiki mangsa tersekat pada batu.

"Dalam kenderaan itu, ada lima individu di mana seorang ibu sedang memegang anak lelakinya berusia lapan tahun, saya segera membawanya keluar dari sungai.

"Kesemua lima sekeluarga itu akhirnya berjaya diselamatkan dengan bantuan penduduk kampung menggunakan tali serta pelampung," katanya.

Rakan Dunnysius, Yuhana Samsudin, 26, kemudiannya menghubungi bomba kira-kira jam 3.50 petang sebaik menyedari keperluan untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan sebelum ketibaan anggota bomba.

  • oleh
  • Advertisement