Anda di sini

Tragedi bot karam: Tiga individu diarah bela diri

Advertisement

KOTA KINABALU: Tiga individu diperintahkan membela diri, di Mahkamah Sesyen di sini, atas beberapa pertuduhan yang membabitkan tragedi bot karam di Pulau Mengalum, kira-kira setahun lalu.

Hakim Noor Hafizah Mohamad Salim membuat keputusan itu terhadap Sharezza Salian, 25, Leong Vin Jee, 44, dan ibunya Chung Ket Siew, 64, setelah kes ditutup pada peringkat pendakwaan.

SHAREZZA.
SHAREZZA.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan, Sharezza dan Leong diperintahkan membela diri mereka, manakala Chung dibebaskan dan dilepaskan.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah berpuas hati, bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Sharezza sebagai jurangan bot yang membawa 20 penumpang pelancong China, 12 wanita dan lapan lelaki, dengan cuai membawa bot ke laut sehingga membahayakan nyawa.

Kesalahan dilakukan pada 28 Januari tahun lalu jam 10 pagi hingga jam 11 pagi, di perairan Pulau Mengalum, di sini.

Leong sebagai pengurus operasi Syarikat Golden Sailling Travel and Tour Sdn Bhd, membenarkan Sharezza membawa bot berkenaan dengan cuai, sehingga membahayakan nyawa para penumpang.

Kesalahan dilakukan pada hari sama, kira-kira jam 9.15 pagi di jeti Kampung Tanjung Aru Lama, di sini.

Manakala Chung sebagai pengarah syarikat terbabit, didakwa menyebabkan cedera terhadap 20 penumpang, kerana membenarkan Leong menguruskan dan menggunakan bot berkenaan.

Kedua, bagi pertuduhan menyebabkan kematian secara cuai mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan, Sharezza dan Leong diarah membela diri, sementara Chung dibebaskan dan dilepaskan.

Mereka sebagai jurangan, pengurus operasi dan pengarah syarikat, didakwa menyebabkan kematian dua lelaki dan dua wanita warga China, pada hari sama.

Ketiga, tertuduh pertama dan kedua masing-masing diperintahkan membela diri, atas pertuduhan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (Lesen kapal kecil) 2008.

Mereka didakwa gagal menyediakan peralatan keselamatan seperti didalam Jadual Keempat dalam Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (Lesen kapal kecil) 2008.

LEONG.
LEONG.

Keempat, Chung dan Leong juga diperintahkan membela diri atas pertuduhan gagal mengemukakan lesen untuk membawa bot penumpang, didakwa mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2008.

Kelima, Chung sebagai pemilik berdaftar ke atas bot terbabit tidak memberikan peringatan dan melaporkan kepada Leong, mengenai Sharezza sebagai jurangan kepada pihak berkuasa.

Tertuduh diperintahkan membela diri atas pertuduhan itu, mengikut Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2008, dihukum mengikut Seksyen 21 peraturan sama.

Keenam, Leong dan Sharezza juga diarah membela diri atas pertuduhan mengikut Peraturan 13 peraturan sama, kerana menaikkan 30 penumpang serta anak kapal, di jeti haram Kampung Tanjung Aru Lama.

Ketujuh, Leong sekali lagi diperintahkan membela diri atas pertuduhan mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan, kerana berada dalam pengetahuannya membawa penumpang melebihi muatan.

Mahkamah menetapkan tarikh bela diri pada 27 hingga 30 Ogos terhadap ketiga-tiga tertuduh.

CHUNG.
CHUNG.

Dalam pada itu, peguam Edward Paul yang mewakili Leong dan ibunya, menyatakan akan memanggil enam saksi.

Manakala peguam Michell Rosana Osman yang bertindak untuk Sharezza memberitahu, dua saksi daripada pihaknya.

Timbalan Pendakwaraya Nartiah F. Michell Sambatan dan Nurun Nazifah Muhammad Iyen Atim melakukan pendakwaan.

Kini semua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin, sehingga kes selesai.

  • oleh
  • Advertisement