Anda di sini

Tiada sekatan berucap

Advertisement
 Dr Mahathir Mohamad keluar dari Dewan Rakyat selepas Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, semalam. — Gambar Bernama
SELESAI: Dr Mahathir Mohamad keluar dari Dewan Rakyat selepas Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen akan mempunyai kebebasan untuk mengutarakan sebarang isu di Dewan Rakyat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, adalah menjadi dasar kerajaan untuk tidak mengenakan sekatan berucap ke atas wakil rakyat di Dewan Rakyat.

“Ahli Parlimen ini susah sikit nak ‘control.’ Biasanya dia nak cakap dan dasar kita ialah tiada sekatan. Nak cakap apa, cakap,” katanya kepada wartawan selepas selesai majlis perasmian Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Bangunan Parlimen di sini, semalam.

Dewan Rakyat akan bermula bersidang hari ini.

Perdana Menteri juga memberitahu bahawa beliau telah meneliti soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen dan terdapat banyak soalan yang ditujukan dan perlu dijawab beliau.

Bagaimanapun katanya, beliau belum lagi melihat rang undang-undang dan akta yang akan dibawa pada sesi ini.

Tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kerajaan sedang melihat supaya Parlimen membatalkan akta itu setelah pelaksanaan GST pada kadar sifar pada Jun.

Tentang soalan yang mengkritik rancangan kerajaan memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus bagi barangan dan enam peratus bagi perkhidmatan, Dr Mahathir menjelaskan bahawa SST tidak sama dengan GST.

“Sepuluh peratus jika anda beli, jika tidak beli tak perlu bayar, manakala GST adalah  cukai pada sumber. Sama ada anda beli atau tidak, semua harga akan meningkat,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan spontan dan mencuit hati Sultan Muhammad V pada awal ucapan perasmian apabila baginda secara bersahaja menitahkan supaya semua ‘Ahli Parlimen duduk dan tidak lari,’ Dr Mahathir berkata siapa yang makan cili, dia akan berasa pedas.

Kenyataan spontan itu dipercayai merujuk kepada tindakan kebanyakan Ahli Parlimen BN dan PAS keluar dewan kelmarin ekoran ketidakpuasan dengan prosedur pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Dr Mahathir berkata, mesej Yang di-Pertuan Agong dalam ucapannya adalah jelas iaitu supaya rakyat negara ini perlu bersikap sederhana dalam semua perkara dan bertimbang rasa terhadap agama yang dianuti orang lain.

“Dan mereka juga harus hormat kita punya agama. Kalau kita mula cabul agama lain, kita akan terima padahnya,” katanya. — Bernama

Advertisement