Anda di sini

Teater ‘Tanah Akhirku’ dipentaskan di Istana Budaya pada Ogos Ini

Advertisement
 Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani (dua, kanan) bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.  — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani (dua, kanan) bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini. — Gambar Bernama

TEATER ‘Tanah Akhirku’ hasil nukilan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Lim Mei Fen bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 8.30 malam dari 28 Ogos hingga 2 September ini sempena bulan Kemerdekaan.

Tanah Akhirku adalah sebuah naskhah yang membawa penonton melihat sendiri pembentukan Malaysia melalui perspektif yang berbeza.

Idea pementasan ini diperoleh sendiri oleh Lim sewaktu menuntut di Aswara.

“Persekitaran majmuk di kampus ini memberikan pengalaman sebenar masyarakat Malaysia yang diidami. Di Aswara kepelbagaian budaya diraikan dan setiap pelajar mempunyai peluang untuk memahami budaya asing tanpa meninggalkan akar budaya masing-masing,” kata Lim pada sidang media baru-baru ini.

Pelajar tahun akhir Fakulti Seni Teater Aswara yang bertindak sebagai pengolah cerita asal itu berkata, beliau komited dalam memastikan cerita tentang penghijrahan awal masyarakat Tiong Hua ke Tanah Melayu ini dipaparkan dengan teliti melalui naskhah tersebut.

Teater Tanah Akhirku dianjurkan oleh Gold Ray Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya dan Aswara.

Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali merupakan penaung pementasan ini.

PELUANG MENYERLAHKAN BAKAT

 Teater arahan Ashraf Zainal ini menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Angelina Tan, Nave VJ dan Lim sendiri.
PELAKON: Teater arahan Ashraf Zainal ini menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Angelina Tan, Nave VJ dan Lim sendiri.

Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata menerusi pementasan di Istana Budaya, peluang untuk menyerlahkan bakat mereka akan lebih meluas.

“Mungkin selama ini pementasan teater arahan pelajar hanya di sekitar kampus sahaja namun kali ini kami mahu menarik lebih ramai golongan muda untuk datang menyaksikannya di Istana Budaya.

“Ia sekali gus memberi pengiktirafan kepada mereka untuk menonjolkan bakat kepada masyarakat umum di pentas yang berprestij,” katanya.

Beliau berkata naskhah yang penuh dengan suntikan elemen kemerdekaan dan cintakan negara amat bersesuaian untuk dipentaskan pada bulan Ogos dan menambah, elemen yang terkandung dalam teater tersebut bakal menaikkan lagi nilai patriotisme dalam diri penonton.

Teater yang diarahkan oleh Ashraf Zainal ini turut menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Angelina Tan, Nave VJ dan Lim sendiri.

Tanah Akhirku akan dipersembahkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Cina dengan sarikata bahasa.

Tiket boleh dibeli melalui http://airasiaredtix.com mulai 13 Julai dengan harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM 250, dan RM350.

— Bernama

  • oleh
  • Advertisement