Anda di sini

SST bukan pada kadar 16 peratus

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi jualan dan perkhidmatan adalah dikenakan secara berasingan dan tidak boleh digabungkan menjadi 16 peratus.

Ketika menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dr Ong Kian Ming berkata ini berikutan wujud banyak kekeliruan mengenai kadar sebenar di bawah SST dan beranggapan cukai itu mencecah 16 peratus sebagaimana yang dipercayai oleh segelintir orang awam.

“Saya rasa ada banyak kekeliruan tentang isu SST ini di mana cukai jualan akan dikenakan pada kadar 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

“Kedua-dua cukai ini adalah berasingan dan tidak boleh digabungkan sekali menjadi 16 peratus,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu majlis di ibu negara menyatakan bahawa SST yang dijangka mula dilaksanakan pada 1 September, ditetapkan pada kadar enam peratus manakala cukai jualan pada kadar 10 peratus. — Bernama

Advertisement