Anda di sini

Sarawak sedia pertimbang peruntukan MRP kepada ADUN PH sebagai timbal balik

Advertisement
Abang Johari menunjukkan teks ucapan penggulungan semasa tiba di DUN dan turut kelihatan Datuk Dr Juanda Jaya (PBB-Jemoreng) (kiri) dan Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri Wan Khalik Wan Muhammad (kanan).
Abang Johari menunjukkan teks ucapan penggulungan semasa tiba di DUN dan turut kelihatan Datuk Dr Juanda Jaya (PBB-Jemoreng) dan Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, Wan Khalik Wan Muhammad (kanan).

KUCHING: Kerajaan negeri menyatakan komitmen akan mempertimbangkan pemberian peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia sebagai peruntukan timbal balik sekiranya kerajaan persekutuan, menyediakan peruntukan sama kepada ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Kami akan bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan baharu yang menjanjikan kerajaan adil dan cekap.

"Kerajaan negeri akan mempertimbangkan menyediakan peruntukan di bawah MRP kepada ahli individu PH sebagai peruntukan timbal balik sekiranya Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan serupa kepada ahli GPS," katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, mereka akan terus bekerjasama dan pada masa sama mengukuhkan  pakatan baharu itu demi kepentingan Sarawak dan rakyat.

"Oleh itu, saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan siling sebanyak RM1 juta untuk setiap ADUN GPS untuk kawasan masing-masing bagi melaksanakan Program Baik Pulih Rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada tahun 2018.

"Paling penting, kami akan terus memperbaiki dasar kami dan menjalankan institusi kerajaan kami secara profesional agar ekonomi kami mampu mewujudkan pekerjaan yang baik," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak kerajaan atau pembangkang yang terlibat dalam perbahasan pada persidangan DUN kali ini kerana menunjukkan kematangan berpolitik yang tinggi dan berbahas dengan bernas.

Menurut beliau, ia merupakan satu perkembangan yang baharu dan baik untuk kemajuan negeri yang mengamalkan sistem demokrasi.

  • oleh
  • Advertisement