Anda di sini

Polis Hong Kong cuba mengharamkan parti prokemerdekaan

Advertisement
 Lai bercakap kepada media sebagai respons kepada permintaan polis Hong Kong untuk pengharaman Parti Nasional Hong Kong di Hong Kong, semalam. — Gambar AFP
SERIUS: Lai bercakap kepada media sebagai respons kepada permintaan polis Hong Kong untuk pengharaman Parti Nasional Hong Kong di Hong Kong, semalam. — Gambar AFP

HONG KONG: Polis di Hong Kong cuba mengharamkan sebuah parti politik yang menggalakkan kemerdekaan bagi bandar raya itu semalam dengan alasan bahawa ia adalah ancaman yang berpotensi kepada keselamatan negara sementara Beijing meningkatkan tekanan ke atas cabaran kepada kedaulatan wilayahnya.

Hong Kong yang separa autonomi menikmati kebebasan yang tidak kelihatan di tanah besar termasuk kebebasan ekspresi tetapi kebimbangan semakin meningkat bahawa hak-hak tersebut menerima ancaman yang serius daripada China yang lebih tegas di bawah Presiden Xi Jinping.

Ia adalah kali pertama pengharaman sedemikian dipohon sejak Britain menyerah balik kedaulatan Hong Kong kepada China pada 1997 dan merupakan langkah terbaharu untuk mengekang sebarang seruan bagi kemerdekaan, yang telah menimbulkan kemarahan pihak berkuasa China.

Setiausaha Keselamatan Hong Kong Peter Lai berkata semalam beliau sedang menimbang permohonan yang dibuat polis untuk mengharamkan Parti Nasional Hong Kong, salah satu kumpulan terkemuka yang menuntut kemerdekaan bandar raya itu dari China.

“Di Hong Kong, kita ada kebebasan berpersatuan, tetapi hak itu bukan tanpa had,” kata Lai kepada pemberita.

Ditanya bagaimana Parti Nasional Hong Kong merosakkan keselamatan nasional, Lai berkata dia tidak dapat membuat kenyataan secara terperinci mengenai perkara itu.

Bagaimanapun beliau menambah, di bawah undang-undang Hong Kong, keselamatan negara bermakna melindungi integriti wilayah dan kemerdekaan Republik Rakyat China.

Di bawah ordinan persatuan di bandar raya itu, kumpulan boleh diharamkan demi kepentingan keselamatan negara dan keselamatan awam.

Ditanya beberapa kali oleh pemberita sama ada permintaan itu bermotifkan politik ataupun tidak kata Lai, sesiapa sahaja atau mana-mana persatuan di Hong Kong mesti bertindak menurut undang-undang dan sebarang permintaan untuk sebarang pengharaman dibuat berdasarkan fakta dan bukti.

Lai berkata, beliau akan memberi parti itu 21 hari untuk mengemukakan alasan kenapa ia tidak harus dilarang.

Ketua Parti Nasional Hong Kong Andy Chan memberitahu, polis pergi ke rumahnya semalam dan menyerahkannya ndokumen yang menyebut tentang pengharaman yang dipohon, dan memintanya untik menjawab setiausaha keselamatan dalam had masa yang ditetapkan.

“Mereka hanya menyerahkan dokumen dan pergi,” katanya.

Chan berkata, dokumen itu termasuk rekod ucapannya dan sejarah Facebook, dan menambah beliau berpendapat pengharaman yang dipohon itu mungkin ada kaitan dengan satu lawatan baru-baru ini yang dia buat ke Taiwan di mana dia bercakap mengenai hak sivil dan politik Hong Kong di satu forum awam.

China menganggap Taiwan yang demokratik dan memerintah diri sendiri sebagai sebahagian daripada negaranya sendiri yang mesti dikembalikan ke dalam lingkungannya.
Aktivis yang menuntut kemerdekaan Hong Kong dari China muncul selepas rapat umum prodemokrasi besar-besaran pada 2014 gagal untuk mendapatkan reformasi.

Namun terdapat usaha yang semakin meningkat untuk mengekang sebarang perbincangan mengenai topik itu, dan aktivis prokemerdekaan termasuk Chan dihalang daripada bertandingan untuk jawatan kerajaan  manakala orang lain dibatalkan kelayakan untuk duduk dalam dewan perundangan.

Aktivis kemerdekaan terkemuka Edward Leung dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada Jun lalu atas tuduhan merusuh selepas terbabit dalam pertelingkahan dengan polis pada 2016. — AFP

Advertisement