Anda di sini

Penantian warga Kg Kobon bakal jadi kenyataan

Advertisement
EWON bersama Bolkiah dan pegawai KPLB meninjau jalan kampung itu yang dibina sendiri penduduk kampung dengan bergotong royong.
EWON bersama Bolkiah dan pegawai KPLB meninjau jalan kampung itu yang dibina sendiri penduduk kampung dengan bergotong royong.

PITAS: Penantian ratusan penduduk Kampung Kobon untuk menikmati kemudahan jalan raya yang lebih selesa akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick menyampaikan berita gembira itu selepas meninjau jalan ladang dan jalan hutan di kampung berkenaan yang gambarnya tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata kampung yang tersenarai dalam Program Kampung Sejahtera Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu akan diberikan perhatian sewajarnya oleh kementeriannya.

“Saya tahu penduduk Kampung Kobon mempunyai harapan begitu besar supaya kemudahan asas seperti jalan raya dan bekalan elektrik dapat dilaksanakan di kampung ini.

“Ia kini di bawah tindakan KPLB, kita boleh laksanakan penyelenggaraan dan pembaikan jalan sepanjang 2 kilometer menuju ke kampung ini dengan menggunakan peruntukan Program Kampung Sejahtera.

“Sementara permohonan Bekalan Elektrik Luar Bandar untuk kampung ini bersama 23 kampung lain di daerah Pitas telahpun diajukan kepada KPLB Persekutuan dan sudah ada komitmen kerajaan yang lepas. Perkara ini akan kita bincangkan bersama KPLB Pusat untuk melihat status permohonan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dua hari ini di Kota Marudu dan Pitas untuk melihat serta meninjau sendiri prestasi pembangunan program di bawah kementeriannya iaitu Mesej Getah di Kampung Kotud Kota Marudu, Mesej Kelapa Sawit di Kampung Tukar Pitas, Mesej Burung Walit di Kg Kiandut Pitas dan Program Kg Sejahtera Kg Kobon Pitas.

Ewon yang juga Adun Kadamaian juga akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan Adun Pitas Datuk Bolkiah Ismail dan pihak Pejabat Daerah pitas bagi memudahkan pelaksanaan projek penaiktarafan jalan luar bandar sepanjang 6KM dan bekalan elektrik di Kg Kobon.

“Saya akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan Adun dan Pejabat Daerah Pitas kerana mereka lebih memahami situasi di kawasan mereka. Kalau saya membuat komitmen tanpa perbincangan formal dengan mereka, mungkin tidak sesuai kerana kita perlu melihat keperluan ini secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, pucuk pimpinan kerajaan sebelum ini telah mengambil perhatian mengenai masalah yang dihadapi penduduk kampung itu dan berharap masalah kemudahan asas di kampung itu dapat diatasi melalui komitmen dan keprihatinan kerajaan ketika ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Kobon yang ditemui merayu kepada kerajaan supaya dapat mempercepatkan penaiktarafan jalan kampung seterusnya menyediakan kemudahan bekalan elektrik di kampung itu.

Setiausaha Kg Kobon, Juni Andigang, 35, berharap kerajaan dapat memberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya kepada perkara itu.

“Bila kami melihat keadaan di kampung ini dan membandingkan dengan kampung lain, memang kami rasa sangat malang dan rasa tersisih, sedangkan kami juga mempunyai hak sebagai rakyat Sabah dan Malaysia.

“Sebelum ini, pada Oktober 2016 kampung ini telah dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera KPLB dan kami telah mengemukakan masalah ini kepada pihak berkaitan untuk penyelesaian tetapi sehingga kini tiada tindakan,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan jalan raya yang sempurna di kampung itu memaksa penduduk kampung yang mempunyai pelbagai urusan di pekan berjalan kaki atau menaiki bot atau perahu.

KEADAAN jalan Kg Kobon perlukan perhatian kerajaan.
KEADAAN jalan Kg Kobon perlukan perhatian kerajaan.

“Kami mempunyai tiga pilihan, sama ada berjalan kaki sejauh 6 kilometer (km) di hutan menuju ke jalan aspal untuk mendapatkan kenderaan, berjalan kaki di hutan sejauh 3km atau menaiki bot dan perahu di laluan Sungai Bengkoka selama setengah jam untuk sampai ke Pandan Mandamai untuk mendapatkan kenderaan.

“Kalau ada barang yang kami beli, kami terpaksa naik bot kerana kami tidak mampu untuk memikulnya.

“Begitu jugan dengan murid sekolah rendah, mereka terpaksa berjalan kaki melalui hutan sejauh 3 kilometer menuju ke sekolah terdekat iaitu SK Pandan Mandamai atau menaiki perahu tidak mengira keadaan cuaca ketika itu, banjir atau musim kemarau, memang itulah jalan yang ada dan terpaksa mengadai nyawa ke sekolah.

“Sementara bagi pelajar sekolah menengah pula, SMK Pitas 2 adalah sekolah terdekat. Mereka juga terpaksa berjalan kaki sejauh 3 kilometer untuk mendapatkan kenderaan di Pandan Mandamai,” katanya.

Juni berkata, penduduk kampung itu amat mengharapkan supaya diberi kemudahan asas seperti jalan raya yang lebih selesa, bekalan eletrik dan air bersih.

“Memang selama ini kami sangat tertekan dengan situasi seperti ini yang serba kekurangan, tetapi kami tiada pilihan selain terpaksa menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan penduduk kampung mengusahakan tanaman pertanian namun ia agak sukar untuk dipasarkan kerana ketiadaan pengangkutan.

“Hasil pertanian itu agak sukar untuk dipasarkan, kami menaiki perahu untuk ke pekan Pitas atau Kota Marudu. Pendapatan sebulan, sangat terhad... sangat sedikit dalam ratus atau puluh ringgit sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Amblin Sa berkata projek penaiktarafan jalan raya dan bekalan elektrik adalah antara perkara penting yang harus diberi perhatian kerajaan.

“Disebabkan masalah jalan raya dan pengangkutan di kampung ini, penduduk kampung menahan kesengsaraan berjalan kaki setiap kali membawa hasil pertanian atau ke hospital, atau urusan lain di pekan,” katanya.

Beliau berkata walaupun kampung itu dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera namun ia tidak bermakna jika masalah jalan raya dan pengangkutan tidak dapat diselesaikan.

“Kampung ini mempunyai tanah yang subur dan amat sesuai untuk projek pertanian tetapi penduduk tidak dapat mengusahakannya secara komersil kerana masalah pengangkutan.

“Apabila penduduk kampung ada hasil tanaman dan ingin menjualnya, kami terpaksa mengangkutnya sendiri atau menaiki bot, kalau musim kemarau dan sungai cetek, kami yang tarik perahu itu,” katanya.

Sebelum ini, penduduk Kg Kobon terpaksa mengumpul wang sendiri untuk menyewa jengkaut bagi membina laluan kenderaan sepanjang 6 kilometer.

 KALAWIS menunjukkan keadaan rumahnya.
KALAWIS menunjukkan keadaan rumahnya.

Laluan jalan kampung itu dipenuhi belukar, berbukit-bukau, tidak rata dan berlumpur menyebabkan kenderaan sukar bergerak walaupun dengan menggunakan pacuan empat roda.

Kalawis Kundihol, 66, berkata mereka terpaksa menggunakan sumber air tadahan bukit dan Sungai Bengkoka yang keruh setiap kali hujan kerana ketiadaan bekalan air bersih di kampung itu.

“Kami juga menggunakan lampu pelita kerana tiada bekalan elektrik. Saya harap masalah kami dapat diselesaikan segera,” katanya yang mengusahakan pertanian seperti ubi kayu dan pisang secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri dan dipasarkan.

Advertisement