
SANDAKAN: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam sebuah kontena di Kampung Lupak Meluas, Jalan Batu Sapi di sini, malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin yang mengesahkan perkara itu berkata mangsa rakyat tempatan berumur 48 tahun dan merupakan pemandu 'forklift' yang bekerja menyusun serta mengalih kontena di kawasan itu.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa pada jam 7.44 malam.
"Sepasukan pegawai dan anggota polis telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan menjumpai mayat mangsa di dalam sebuah kontena," katanya.
Katanya mangsa juga tinggal seorang diri di dalam kontena berkenaan selepas selesai kerja setiap hari.
"Siasatan terhadap tubuh badan mangsa juga mendapati tiada sebarang kesan luka atau kecederaan," katanya sambil menambah, mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Azhar berkata kertas siasatan telah dibuka dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.