Anda di sini

Lelaki kudung mengaku bersalah terlibat dadah

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki kudung didenda RM2,800 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh dua tahun.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Sim Ah Hock, 51, dari Lorong 9 Krokop di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati ada menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.40 pagi, 27 Julai 2017 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Terdahulu di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman diringankan memandangkan dia merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan tidak mempunyai pekerjaan.

Tambahan dia telah berkahwin dan mempunyai tiga anak serta tinggal menumpang di rumah kakak setelah isterinya pulang ke Indonesia.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement