Anda di sini

Kastam giat laksana usaha kecilkan jurang hasil GST, SST

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menggerakkan usaha untuk mengecilkan jurang perbezaan hasil antara cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam (foto).

Beliau berkata pihaknya juga akan mencari tambahan RM3 bilion daripada ketirisan hasil import eksport negara.

Subromaniam berkata ia adalah antara janjinya kepada Menteri  Kewangan Lim Guan Eng ketika mengadakan pertemuan pertamanya dengan Lim sejak dilantik menerajui Kementerian Kewangan. 

"Orang ramai tahu jurang pendapatan menerusi SST rendah berbanding GST, dan JKDM akan mencari pertambahan pendapatan," katanya dalam Program 'Breakfast Talk Integriti' yang bertemakan Membanteras Ketirisan Hasil Negara di sini hari ini.

Subromaniam adalah antara tiga panel program itu yang turut disertai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Presiden Transparency International Malaysia Datuk Akhbar Satar. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Dr Ahmad Fadzli  Ahmad Tajuddin merupakan moderator program itu.

Subromaniam berkata  dalam pertemuan mereka, Lim bertanyakan mengenai pendapatan GST dan berapa banyak hasil dari SST dijangka dapat dikumpulkan. 

"Saya berkata ada jurang. Menteri berkata bagaimana cara hendak menampung jurang itu. Beliau (Lim) turut menanyakan berapa banyak kehilangan hasil cukai, namun angka-angka itu tidak boleh didedahkan. Oleh itu, Lim meminta JKDM mengatur strategi bagi menampung kehilangan hasil daripada pemansuhan GST," katanya.

Lim sebelum ini mengumumkan cadangan SST akan  dikuatkuasakan pada kadar  10 peratus untuk  jualan dan enam peratus untuk  perkhidmatan, apabila rang undang-undang berkenaan cukai itu dijangka diluluskan di Parlimen bulan depan.

SST akan menggantikan GST yang mula diperkenalkan pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus.

Subromaniam berkata beliau  akan mengeluarkan keputusan polisi dalam masa terdekat ini tentang langkah seterusnya dalam memantapkan lagi serta menambah hasil negara.

Pada forum berkenaan,  Subromaniam berkata kerajaan sentiasa menekankan kepada tadbir urus yang baik, kompetensi, akauntabiliti, ketelusan serta tiada ruang untuk salah guna kuasa dan rasuah. 

Menurutnya, pada pertemuan dengan Lim, beliau mengakui bahawa JKDM merupakan agensi yang terdedah dengan salah guna kuasa dan rasuah, serta mempunyai masalah integriti.

"Kita perlu mengakuinya sebab kalau kita selindungnya, kita tidak akan menjumpai jalan penyelesaiannya.

“Kastam sering dituduh sebagai agensi berdepan dengan salah guna kuasa dan rasuah. Tuduhan itu memang ada kebenaran. Saya tidak menafikan," katanya.

Diminta mengulas mengenai isu barang kemas yang dikaitkan dengan isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor selepas program itu, Subromaniam yang enggan mengulas lanjut berkata kes itu masih disiasat oleh pihak Kastam.

"Bukan hari ini…..Kami masih menyiasat," katanya. 

Bulan lepas, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah di Mahkamah Tinggi menuntut isteri bekas perdana menteri  memulangkan  kembali 44  barangan  kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar barang kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta (RM59.831 juta). - Bernama
 

Advertisement