Anda di sini

Jawatankuasa khas perlu ditubuh

Advertisement

Semak semula dana bangunkan Jelapang Padi Kota Belud
 

KOTA BELUD: Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi menyemak semula kesemua dana pembangunan yang telah diperuntukkan bagi membangunkan kawasan jelapang padi di sini oleh kerajaan terdahulu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, pihaknya percaya peruntukan seumpamanya sudah disalurkan kepada agensi berkaitan sebelum ini.

"Perkara ini memang perlu dilihat selepas kita kerajaan baharu mengambil alih pemerintahan Sabah. Kita perlu semak sistem perakaunan... duit yang masuk dan apa yang dilakukan.

JAUJAN bersalaman dengan penduduk ketika tiba di majlis itu.
JAUJAN bersalaman dengan penduduk ketika tiba di majlis itu.

"Bukan bertujuan untuk mencari kesalahan tetapi sekiranya ada yang sudah dibuat mungkin perkara itu tidak perlu kita laksanakan.

"Ini kerana, masih banyak keperluan lain dan memerlukan bajet yang banyak," katanya ketika ditemui selepas berucap pada Majlis Kesyukuran Mesra Rakyat 2018 di Kampung Taun Gusi, di sini pada Selasa.

Beliau memberi contoh, sekiranya peruntukan itu sudah digunakan tetapi tidak memberikan kesan positif, satu usaha untuk mengkaji perkara itu perlu dilaksanakan.

Katanya, padi adalah makanan asas yang sangat penting kepada rakyat negeri ini, Sabah wajar mempunyai 'bank' makanannya sendiri dan tidak hanya bergantung kepada pengimportan beras sahaja.

"Saya percaya kini kita masih mengimport beras dari negara seperti Thailand, China dan Vietnam... sekiranya berlaku pergolakan di negara berkenaan sudah pasti kita mengalami kekurangan beras.

"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada sumber makanan luar sebaliknya kita perlu menjadi negeri pengeksport komoditi ini," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, berkaitan isu banjir di kawasan ini, kerajaan akan mengambil contoh dari Belanda yang berjaya menjadi pengeluar produk pertanian terbesar di Eropah dengan memanfaatkan sumber air yang banyak kerana muka buminya terletak di bawah paras laut.

"Tanah di Belanda terletak di bawah paras laut tetapi mereka tidak dilanda banjir sebaliknya teknologi yang ada berjaya memanfaatkan jumlah air yang banyak untuk menghasilkan produk pertanian.

"Kita perlu adakan program latihan dengan negara berkenaan agar konsep itu boleh digunapakai di Kota Belud," katanya.

  • oleh
  • Advertisement