Anda di sini

Isu sekolah perlu diselesaikan serentak, menyeluruh

Advertisement
 Manyin pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan untuk kementeriannya di Pusat Media, DUN, semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Dr Annuar Rapa’ee dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datu Sudarsono Osman (kanan).
SELESAIKAN SERENTAK: Manyin pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan untuk kementeriannya di Pusat Media, DUN, semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Dr Annuar Rapa’ee dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datu Sudarsono Osman (kanan).

KUCHING: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata isu-isu berkaitan sekolah di Sarawak perlu diselesaikan secara serentak dan menyeluruh.

Beliau berkata antara isu berkenaan ialah 371 sekolah yang kebanyakannya berada di luar bandar masih bergantung kepada penjana kuasa untuk membekalkan tenaga elektrik.

Sementara itu katanya, 428 sekolah masih tidak dibekalkan dengan bekalan air terawat dan ketika ini hanya menggunakan pelbagai sumber air lain seperti air hujan, tekanan graviti, telaga dan air sungai.

Manakala 721 sekolah tidak mempunyai akses jalan yang baik dan daripada jumlah itu 200 sekolah diakses hanya menggunakan jalan sungai atau laut dan 520 diakses oleh jalan yang cuma dapat digunakan ketika cuaca baik, katanya.

Sarawak juga ujarnya, berdepan isu sekolah usang yang memerlukan perhatian segera khususnya yang dikategori sebagai usang kritikal.

“Semua isu ini mesti ditangani dan diselesaikan serentak dan menyeluruh.
“Inilah cabaran utama dihadapi kami (Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi) untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeri itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Mengulas mengenai isu sekolah usang di negeri ini, Manyin berkata terdapat 1,020 daripada 1,457 di seluruh Sarawak dalam keadaan usang dan 415 dikategori usang kritikal.

Beliau berkata 205 daripada 415 sekolah usang telah diluluskan untuk dibina semula atau dinaik taraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Manakala baki 210 sekolah usang kritikal akan dibina semula di bawah dana khas RM1 bilion dalam tempoh dua tahun, yang diluluskan pada Bajet 2018, iaitu RM500 juta untuk 2018 dan RM500 juta lagi bagi 2019.

Setakat ini katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah dianugerah kontrak untuk membaiki 116 sekolah dan daripada jumlah itu 50 dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), baki 66 di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa kerja membaik pulih 116 sekolah usang kritikal di Sarawak tidak melibatkan dana khas RM1 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2018.

Beliau berkata semasa mesyuarat Majlis Ekonomi Negara (MEN) pada 9 Oktober 2017, dinyatakan bahawa jumlah RM419.05 juta untuk membaik pulih 116 sekolah berkenaan tidak seharusnya daripada RM1 bilion yang diluluskan.

“Kerja-kerja membaik pulih 116 sekolah ini, sepatutnya sebahagian daripada jumlah yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Perkara ini dinyatakan dalam satu mesyuarat dipengerusikan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) pada 17 April 2018, RM419.05 juta tidak seharusnya menggunakan peruntukan khas RM1 bilion,” katanya.

Pelaksanaan projek ini tidak mengikut senarai keutamaan Kerajaan Sarawak untuk sekolah-sekolah usang yang kritikal di Sarawak.

“Secara ringkasnya, penggunaan RM500 juta (daripada RM1 bilion) tidak mengikut seperti yang dipersetujui semasa mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.

“Saya amat berharap kerajaan Pakatan Harapan menghormati keputusan kerajaan pusat sebelum ini untuk memberikan RM1 bilion kepada Sarawak untuk menyelesaikan isu sekolah-sekolah usang ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement