Anda di sini

Hakim tangguh perbicaraan El Chapo ke November

Advertisement
 Gambar fail 8 Januari, 2016 menunjukkan Guzman dieskot anggota tentera di Kota Mexico, Mexico. — Gambar Reuters
KETUA SINDIKET: Gambar fail 8 Januari, 2016 menunjukkan Guzman dieskot anggota tentera di Kota Mexico, Mexico. — Gambar Reuters

NEW YORK: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) yang mengurus kes terhadap Joaquin “El Chapo” Guzman dari Mexico, yang dituduh mengetuai salah satu empayar jenayah dadah terbesar di dunia, kelmarin menangguhkan perbicaraan selama 60 hari.

Pemilihan juri akan bermula pada 5 November, dan bukan 5 September seperti yang dijadualkan sebelum ini. Ia merupakan kali kedua Hakim Brian Cogan mengarahkan penangguhan, selepas perbicaraan itu pada mulanya dijangka bermula di New York pada April lalu.

Peguam bela memohon penangguhan terbaharu 10 hari lalu, dengan alasan bahawa ribuan dokumen baharu yang dikemukakan oleh peguam kerajaan AS yang bekerja untuk pihak pendakwaan menjadikannya mustahil untuk disediakan dengan cepat.

Kelmarin peguam Guzman, Eduardo Balarezo, menyuarakan rasa tidak puas hati bahawa penangguhan itu tidak lebih berisi. Guzman, katanya, “amat kecewa sekali”.

“Mengambil kira jumlah maklumat yang begitu banyak dibuang ke atas pihak pembelaan, Guzman berpendapat penyambungan selama lima bulan adalah wajar,” Balarezo menyebut dalam satu kenyataan.

“Dia percaya pihak pendakwaan sengaja bermain-main dalam usaha untuk menafikannya perbicaraan yang adil dan percaya juri yang tidak berat sebelahy akan dapat melihat menerusi asap dan cermin di perbicaraan.”

Dalam satu usul yang difailkan pada 6 Julai lepas, Balarezo berkata kerajaan AS baharu sahaja mengeluarkan 117,000 fail audio dan 1,125 lembaran dokumen, selain gambar dan video.

Guzman, 61, dituduh mengetuai sindiket jenayah Sinaloa dan ditahan di New York sejak diekstradisi ke AS pada 19 Januari 2017 selepas dua kali meloloskan diri dari penjara di Mexico.

Dia berdepan dengan 17 tuduhan dan jika disabitkan, dia kemungkinan akan meringkuk seumur hidup dalam penjara kawalan keselamatan maksimum AS.

Pada awal bulan ini, Mexico berkata ia sudah mengekstradisi seorang “saksi yang berpotensi penting” — Damaso Lopez, yang dikenali sebagai ‘Si Peguam’ dan pernah dikatakan menjadi orang kanan Guzman. — AFP

Advertisement