Anda di sini

Dewan lulus usul kemuka rayuan kes ADUN Pujut ke Mahkamah Persekutuan

Advertisement

KUCHING: Usul terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Julai 2018 berhubung kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon diluluskan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Usul dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol.

Abdul Karim berkata usul itu bukan agenda peribadi untuk menjatuhkan Dr Ting, tetapi amat penting sebagai panduan undang-undang.

"Isu ini adalah mengenai kewarganegaraan. Itulah sebab kita mahu membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan.

"Perbicaraan di Mahkamah Persekutuan akan membabitkan sembilan hakim, justeru lebih banyak pendapat digunakan dalam mengadili rayuan kita," katanya pada sidang media selepas usul diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

ADUN DAP turut diberi peluang oleh Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar untuk mengemukakan hujah sebelum usul itu diundi.

Abdul Karim dan Abdullah pada sidang media selepas usul rayuan kes ADUN Pujut diluluskan Dewan hari ini.
Abdul Karim dan Abdullah pada sidang media selepas usul rayuan kes ADUN Pujut diluluskan Dewan hari ini.

Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 13 Julai 2018 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Dr Ting sebagai Anggota DUN Pujut.

Keputusan dicapai apabila hakim, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta Harmindar Singh Dhaliwal bersetuju menolak rayuan Awang Asfia dan Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh tiada bidang kuasa untuk memutuskan pembatalan kelayakan Dr Ting kerana faktor penyingkiran tersebut berlaku sebelum pilihan raya.

Abang Iskandar ketika membacakan penghakiman, berkata DUN Sarawak bukanlah forum yang sewajarnya untuk memutuskan berkenaan keanggotaan Dr Ting mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, dan Speaker DUN itu telah silap mengguna pakai Perkara 17(1)(g) Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Keputusan yang dicapai oleh 70 ADUN mengundi dan menyokong usul dikemukakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Datuk Seri Wong Soon Koh semasa persidangan DUN Sarawak tahun lepas adalah terbatal dan tidak sah,” katanya.

Manakala Hakim Mary Lim Thiam Suan pula dalam penghakimannya berkata Dr Ting jelas tidak mempunyai kelayakan untuk dipilih sebagai ADUN kerana beliau telah mengambil kewarganegaraan Australia.

“Penolakan Dr Ting sebagai kewarganegaraan Australia juga tidak melayakkan beliau menjadi wakil rakyat kerana beliau telah bersumpah setia untuk menjadi warganegara tersebut,” katanya.

Pada 12 Mei tahun lepas, DUN memutuskan melalui undi majoriti untuk menolak kelayakan Dr Ting sebagai Ahli DUN Pujut kerana beliau memegang dua kerakyatan, iaitu Australia dan Malaysia.

Dr Ting mendapat kembali kedudukannya sebagai Ahli DUN Pujut melalui keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 17 Jun tahun lepas. 

Mahkamah itu juga mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan bagi kerusi kawasan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement