Anda di sini

Dasar perumahan negeri sembilan akan ditambah baik

Advertisement
 Teo (dua kiri) mendengar taklimat mengenai pembangunan The Youth City daripada David (kiri). — Gambar Bernama
TAKLIMAT: Teo (dua kiri) mendengar taklimat mengenai pembangunan The Youth City daripada David (kiri). — Gambar Bernama

NILAI: Dasar Perumahan Negeri Sembilan akan diteruskan dan ditambah baik demi memastikan rumah mampu milik khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan belia akan terus di bina di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru Teo Kok Seong berkata dasar yang menetapkan sebanyak 50 peratus rumah mampu milik dibina dalam setiap projek pembangunan perumahan di Negeri Sembilan itu bertujuan untuk memastikan rakyat di negeri ini mampu memiliki kediaman mereka.

“Kita akan melihat kepada segenap aspek dalam dasar itu dan ia akan diteruskan dan ditambah baik. Kerajaan baharu ini berusaha untuk mendekati rakyat dan dalam masa yang sama kita tidak mahu membebankan pemaju.

“Sekiranya pemaju mempunyai masalah, mereka boleh berjumpa dengan saya atau wakil kerajaan untuk kita berbincang dan mencari jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran jelajah ‘Mobile Truck’ GD Pavilion Sdn Bhd di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan GD Holdings Datuk Seri David Yeat Sew Chuong.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengatasi syarat pinjaman bank yang menjadi isu kepada pemilikan rumah dalam kalangan belia.

“Masalah pembeli muda ini adalah tidak layak memohon pinjaman perumahan meskipun ia kali pertama. Ini berlaku bukan sahaja kepada belia yang disenaraihitam bahkan juga kepada mereka yang mempunyai rekod bersih.

“Kita akan berbincang dengan KPKT untuk mencari langkah penyelesaiannya. Tidak guna kita bina banyak rumah mampu milik tetapi mereka ini tidak dapat membelinya. Dalam masa yang sama kita akan meminta KPKT untuk mengkaji balik syarat pinjaman perumahan yang mengenakan bayaran 10 peratus deposit,” katanya.

Terdahulu, beliau melepaskan konvoi Mobile Truck yang akan menjelajah ke seluruh pelosok Negeri Sembilan bertujuan mempromosikan pemilikan rumah mampu milik The Youth City yang dibangunkan pemaju perumahan itu dikalangan belia dan wanita di negeri ini.

Projek The Youth City merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur GD Development Vision City bernilai RM1.3 bilion yang mengandungi empat menara dengan 3,123 unit pangsapuri perkhidmatan di atas tanah seluas 20 hektar di sini.

Syarikat itu yang menawarkan pangsapuri perkhidmatan bertaraf lima bintang dan dilengkapi dengan pusat membeli belah dan rumah kelab dengan harga jualan seunit serendah RM232,618 sehingga RM591,598.

Pembeli yang berasal daripada negeri ini, mereka yang bekerja serta anak bersekolah di sini serta kepada mereka yang membuka syarikat di negeri ini layak menerima insentif tunai RM2,500 sekiranya melakukan pembelian unit rumah dalam tempoh kempen yang bermula hari ini sehingga 25 Ogos depan selain diskaun 10 peratus untuk Bumiputera. — Bernama

Advertisement