Anda di sini

Bomba cuci jalan akibat tumpahan minyak sawit

Advertisement
BOMBA menggunakan buih sabun untuk membersihkan kesan tumpahan minyak sawit di lokasi kejadian.
BOMBA menggunakan buih sabun untuk membersihkan kesan tumpahan minyak sawit di lokasi kejadian.

TAWAU: Pasukan bomba terpaksa mencuci permukaan jalan raya selama kira-kira satu jam 30 minit dengan buih sabun untuk membersihkan kesan tumpahan minyak sawit di laluan pusingan U lampu isyarat Batu 3 Jalan Apas, di sini hari ini.

Utusan Borneo difahamkan, tumpahan minyak sawit terbabit disyaki ‘kesan yang ditinggalkan’ sebuah lori semasa membuat pusingan U di lokasi kejadian pada awal pagi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melalui Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau menerima aduan jam 9.17 pagi.

Susulan aduan yang diterima, sepasukan lima anggota bomba diketuai pegawainya, Alipoldo Timbang, terus bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan sebuah jentera.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak membersihkan kesan tumpahan dan sisa minyak sawit dengan menggunakan satu aliran 100 kaki satu pancutan bersama buih sabun.

Berdasarkan maklumat daripada PGO JBPM Sabah juga, operasi membersihkan kesan tumpahan minyak itu ditamatkan jam 10.40 pagi dan tidak ada kemalangan dilaporkan.

Salah seorang pengguna jalan raya, Hervuudin Hasyim, 42, berkata semasa melalui kawasan itu, permukaan jalan didapati licin dan berbahaya untuk kenderaan ringan.

“Saya melihat ada dua penunggang motosikal melakukan pusingan U di kawasan itu hampir tergelincir namun mujur tidak ada insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Hervuudin berkata semasa tiba di kawasan itu, pihak bomba dilihat berusaha mencuci permukaan jalan raya yang licin namun keadaan lalulintas berjalan lancar dan perlahan.

Beliau memuji pihak bomba kerana bertindak pantas membersihkan permukaan jalan raya licin yang dikhuatiri berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan.

  • oleh
  • Advertisement