
KOTA KINABALU: Sejumlah 1,605 kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) telah dilaporkan di Sabah dengan purata sebanyak 58 kes dilaporkan setiap minggu sejak Januari hingga 14 Julai lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata jumlah berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 5.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017.
"Empat daerah dengan bilangan kes tertinggi secara kumulatif adalah daerah Kota Kinabalu iaitu sebanyak 398 kes, diikuti dengan Beaufort sebanyak 270 kes, Penampang (181 kes) dan Sandakan sebanyak 165 kes. Seramai 899 kes adalah lelaki manakala selebihnya adalah perempuan iaitu seramai 706 orang.
"Daripada jumlah jumlah itu sebanyak 97.8 peratus kes melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata sehingga 14 Julai lepas sebanyak 45 episod wabak telah dilaporkan di seluruh Sabah iaitu melebihi jumlah wabak yang telah dilaporkan sepanjang tahun 2017.
Christina berkata tren peningkatan wabak ini adalah seperti yang berlaku di seluruh negera.
"Antara tindakan kawalan yang dijalankan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) adalah penutupan pusat-pusat pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tabika dan tadika. Oleh itu sejumlah 43 pusat pendidikan awal telah diarah tutup bagi tujuan penyahkuman dan pembersihan premis," katanya.
HFMD merupakan penyakit berjangkit yang endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun. Penyakit HFMD disebabkan oleh beberapa virus dan wabak HFMD yang dilaporkan di negeri Sabah adalah disebabkan oleh Enterovirus 71 (EV 71), Coxsackie Virus A16 dan spesis Enterovirus yang lain.
Sehubungan itu beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan segera membawa anak berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.
"Kita juga meminta agar ibu bapa tidak membawa anak yang dijangkiti atau disyaki ke tempat-tempat awam, sekolah, taska, tadika atau pusat asuhan kerana boleh menyebarkan penyakit itu," tambahnya.-Bernama.