
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya Baru Bian di Kuala Lumpur pada Isnin.
Kunjungan adalah bagi sesi taklimat mengenai projek pembangunan Persekutuan di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dengan memfokuskan pada pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini.
Taklimat itu disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan KKRM Zahrul Hakim.
Turut hadir, Timbalan Menteri KKRM Haji Mohd Anuar dan Timbalan Ketua Setiausaha (DP) Dato' Abdul Razak manakala, KPI dihadiri oleh Timbalan Pengarah JKR Sabah Ir Richard Jomiji Kinsil dan KPP Lebuhraya Yapp.
Pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo bagi negeri Sabah melibatkan tiga fasa. Projek ini melibatkan pembinaan lebuh raya 1,236km panjang keseluruhannya.
Anggaran kos bagi fasa 1 yang melibatkan 35 pakej adalah sebanyak RM12,864 bilion meliputi 706km.
Fasa 2 dan fasa 3 yang melibatkan 413km lagi sedang dalam peringkat perancangan.
Kerajaan Sabah telah menekankan agar projek lebuh raya ini harus diteruskan untuk mengurangkan jurang RDI (Road Development Index) di Sabah dengan negeri lain.
Bagaimanapun, KPI mendapati bahawa model pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang melibatkan pelantikan PDP sebagai agensi pelaksana adalah satu pembaziran wang rakyat.
Sejumlah wang yang boleh mencecah RM1 bilion boleh dijimatkan sekiranya projek ini diurus selia sendiri oleh pihak KKRM dan KPI. Penjimatan ini adalah daripada fi dan bayaran balik PDP.
Selain itu, dijangka sejumlah besar penjimatan dapat diperolehi sekiranya kaedah perolehan adalah secara tender terbuka.
Berdasarkan kepada perbincangan berkenaan kedua-dua menteri berkenaan telah bersetuju agar struktur model pelaksanaan Pan Borneo dikaji semula.
Baru telah menyarankan agar KPI menyediakan kertas cadangan berkenaan kaedah pelaksanaan yang terbaik untuk dikemukakan kepada KKRM dan seterusnya dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan.
Selain itu, perbincangan penyenggaraan jalan persekutuan negeri Sabah turut dibincangkan dengan memfokuskan kepada kontrak penswastaan serta pelantikan konsesi pelaksana.
Peter memaklumkan bahawa beliau mendapati, penyambungan kontrak sudahpun ditandatangani walaupun kontrak kerja penyenggaraan belum lagi tamat tempohnya.
Baru mengarahkan agar perkara itu dikaji semula di mana KPI diminta untuk menilai prestasi konsesi pelaksana terlebih dahulu sebelum penyambungan kontrak dipersetujui.
Peter berkata, KPI akan menyediakan kertas cadangan dan laporan bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo dan kontrak penyenggaraan jalan persekutuan itu dengan melihat ketirisan pelaksanaan projek dan kontrak dapat diminimumkan.