Anda di sini

Norzawiyah wanita pertama teraju Jabatan Penerangan Sabah

Advertisement
NORZAWIYAH.
NORZAWIYAH.

KOTA KINABALU: Norzawiyah Bulka, 52, menjadi wanita pertama dilantik sebagai pengarah Jabatan Penerangan (Japen) di Sabah yang baharu berkuatkuasa 25 Jun lalu.

Beliau berkata, pelantikan itu adalah satu penghargaan kepada kaum wanita kerana diberi kepercayaan untuk memimpin Japen Sabah.

“Kepercayaan ini menunjukkan bahawa kaum wanita juga boleh menggalas tanggungjawab yang besar sekiranya komited dengan pertugasan.

“Saya berharap dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komited untuk membawa nama jabatan ke mercu kejayaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa jawatan itu juga datang bersama tanggungjawab dan bukan hanya jawatan semata-mata.

"Pelantikan saya ini bagaikan sirih pulang ke gagang kerana sebagai anak jati Sabah berasal dari Tawau sememangnya berhasrat untuk balik memberi khidmat kepada negeri sendiri selepas berkhidmat di Semenanjung selama 11 tahun,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Wisma Dang Bandang, pagi Selasa.

Beliau merakam penghargaan kepada Ketua Pengarah Japen Malaysia Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menabur bakti semula di negeri sendiri.

Norzawiyah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun sejak 1990.

Sebelum ini, beliau merupakan Timbalan Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan pernah juga bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Kementerian dalam Negeri dan Kementerian Kewangan Malaysia.

Advertisement