
TUARAN: Majlis Daerah Tuaran (MDT) disarankan untuk meningkatkan pendapatan dengan mencari sumber hasil yang baharu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, sumber pendapatan dalam lingkungan RM4 juta setahun masih tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan majlis daerah dalam membangunkan masyarakat setempat.
"Tuaran kini pesat membangun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini harus bersedia berhadapan kepesatan penduduk.
"Banyak projek perumahan yang dibangunkan di daerah ini, sekali gus membolehkan PBT untuk merancang sumber pendapatan.
"Sekiranya pendapatan itu tidak bertambah...dengan jumlah tunggakan banyak yang gagal dipungut, bagaimana mahu mengurus tadbir, pekerja pun banyak," katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan kerja ke Majlis Daerah Tuaran, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, selain destinasi pelancongan sedia ada, terdapat lagi beberapa kawasan yang mampu dibangunkan untuk menjadi produk pelancongan seperti Tamu Mingguan Tuaran, kawasan Mengkabong dan Institut Pendidikan Guru Kampus Kent.
Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Kampus Kent contohnya adalah salah sebuah kampus tertua di Malaysia dan memiliki ciri-ciri nostalgianya tersendiri. Ia wajar dikekalkan atau dinaiktarafkan walaupun kampus itu kini telah dipindahkan.
"Tamu minggu sini terkenal sejak tahun 60an, bukan sahaja kita perlu kekalkan tetapi juga dinaiktaraf kerana banyak produk tradisional Tuaran dipasarkan.
"Mengkabong menjadi destinasi pelancongan tahun 70an yang mana sangat popular dengan perkampungan nelayan," katanya.
Menurutnya, peralihan kuasa pada PBT akan dilakukan selepas selesainya sesi lawatan ke semua PBT di Sabah.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Ginun Yangus.