
KOTA KINABALU: Kesan retak yang dikesan pada jejambat Tanjung Aru tidak membahayakan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Ir Ali Ahmad Hamid berkata pihaknya sudah membuat tinjauan di lokasi kejadian dan kesan retak pada bahagian luar konkrit jejentas tidak memberikan kesan sepertimana yang ditularkan orang awam.
"Perkara ini pernah berlaku kira-kira empat atau lima tahun lalu dan kita sudah melaksanakan prosedur sama dengan mengarahkan pihak berwajib menjalankan tinjauan dan siasatan secara terperinci di jejambat terbabit.
"Laporan juga sudah dihantar dan kita sedang menunggu keputusan keadaan sebenar jejambat berkenaan dalam tempoh kurang seminggu dari sekarang, dan kita akan melaksanakan sebarang tindakan wajib jika perlu," katanya semasa dihubungi Utusan Borneo hari ini.
Sejak Isnin lalu, maklumat mengarahkan orang awam agar berhati-hati jika melalui jejambat berikutan terdapat kesan retak yang ditularkan orang awam.