Anda di sini

Kembalikan keriuhan Pantai Tanjung Aru

Advertisement
SUASANA pengunjung merakamkan detik matahari terbenam di Pantai Tanjung Aru.
SUASANA pengunjung merakamkan detik matahari terbenam di Pantai Tanjung Aru.

SEJAK berpuluh tahun lamanya, Tanjung Aru yang terkenal dengan keindahan pantainya dan panorama senja tidak dapat dipisahkan dengan kemasyhuran Kota Kinabalu.

Pantai yang sentiasa meriah dan riuh dengan kunjungan pelancong setiap hari, sama ada untuk menikmati pemandangan atau makanan, atau sekadar beristirat dan riadah bersama keluarga, kini semakin kehilangan pesona.

Pantai yang terletak kira-kira 5 kilometer dari pusat Bandaraya Kota Kinabalu ini sering menjadi tempat persinggahan.

Pantai yang dilengkapi dengan kemudahan di sekitarnya menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negeri untuk berkunjung. Antara daya tarikan utama adalah pusat penginapan, tempat makan yang banyak serta lokasi sukan air yang menarik.

Sungguhpun ia menjadi pusat pelancongan, namun masyarakat tempatan tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi pantai ini untuk beriadah. Setiap petang, pantai menjadi tumpuan orang ramai kerana menanti keindahan alam yang sangat menakjubkan iaitu panorama matahari terbenam.

Dengan desir ombak, bauan pantai, cahaya yang kian malap berubah menjadi gelap, semua pengunjung akan bersiap sedia bersama alat teknologi masing-masing bagi merakamkan panorama ini. Di sini, keindahan matahari terbenam terlihat jelas seperti tenggelam ke dalam lautan.

MOHD KHAMIS.
MOHD KHAMIS.

Sesiapapun akan teruja dan jatuh cinta akan fenomena ini. Sebut sahaja matahari terbenam, semua orang akan menawarkan Pantai Tanjung Aru sebelum pantai lain yang ada di sekitar Kota Kinabalu ini.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, pantai ini kian sepi. Pengunjung mulai beralih arah. Bukan kerana matahari berubah sama, tetapi kerana pembangunan yang merampas kemudahan serta keindahan pantai ini.

Kini, Pantai Tanjung Aru yang juga sebelum ini terkenal dengan pelbagai tempat makan yang menjadi tumpuan  dipindahkan ke satu tempat yang lain atas beberapa sebab tertentu.

Dulunya, banyak tempat makan yang popular menyediakan buah-buahan tempatan, makanan laut yang segar serta pelbagai makanan lain yang boleh didapati di sini.

Menurut seorang pengunjung yang ditemubual ketika beriadah bersama keluarga di pantai itu, Mohamad Hazwan 24, pantai itu tidak semeriah dulu kerana gerai makanan yang dipindahkan.

"Sebenarnya mereka ke sini bukan semata-mata untuk laut dan pantai sahaja tetapi juga untuk makanan yang boleh didapati di sini.

“Pihak yang bertanggungjawab seharusnya mengkaji semula pembangunan yang sewajarnya agar tidak mengganggu kemudahan sedia ada untuk masyarakat,” katanya.

Tidak dinafikan kawasan ini sudah menjadi seperti kawasan yang ditinggalkan dan terbiar kerana bangunan-bangunan yang dirobohkan tidak dibersihkan sekaligus mencacatkan kawasan pantai. Hal ini turut disuarakan oleh Fenddy Sudin, 34, bahawa sisa-sisa gerai yang dirobohkan merosakkan keindahan.

“Keindahan pantai di sini banyak berubah atas faktor kebersihan yang kurang memuaskan. Pelancong yang datang ke sini juga berkurangan tidak seperti dulu. Saya berharap pihak bertanggungjawab memulangkan semula apa yang pernah ada seperti gerai makanan, tempat berehat dan beriadah.

"Kita percaya bahawa setiap pembaharuan atau pembangunan memerlukan satu tempoh masa yang panjang. Meskipun begitu, pihak yang terlibat dalam hal ini harus mengambil kira semua sudut agar tidak ada pihak yang terkesan daripada pembangunan yang dijalankan," katanya.

Semasa tinjauan dijalankan, penyelia di Kinabalu Yacht Club, Mohd Khamis Ali Akbar, 53, menyifatkan keadaan pantai tidak dijaga dengan baik kerana sampah yang banyak merosakkan pemandangan.

“Saya berharap agar pihak bertanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan pantai secara berkala yang lebih kerap agar pelancong merasa selasa berada di sini.

"Dalam masa yang sama, meskipun menjadi tanggungjawab pihak berkuasa memelihara keindahan dan kebersihan pantai, namun masyarakat kita juga perlu mempunyai keprihatinan untuk bersama-sama menjaga kebersihan alam.

"Begitu juga dengan kebanyakan harapan pengunjung yang ditanya berkaitan keadaan pantai ini. Mereka menyuarakan harapan mereka agar gerai makanan yang dulu dibuka semula kerana ia menjadi identiti dan destinasi utama pengunjung dari pagi hingga malam," katanya.

KEADAAN gerai makanan yang dipindahkan.
KEADAAN gerai makanan yang dipindahkan.

Bagaimanapun katanya, masalah yang menjadi kerisauan utama adalah sampah. Ia menjadi isu yang rumit untuk diselesaikan. Namun langkah-langkah pencegahan harus dijalankan secara terus menerus bagi membanteras permasalahan itu.

"Alam sekitar yang kita nikmati hari ini adalah warisan yang ditinggalkan zaman berzaman. Oleh itu, hari ini kita pula yang bertanggungjawab untuk mewarisankan alam sekitar ini untuk tatapan generasi akan datang. Tangan-tangan kita inilah yang menjadi penentu masa depan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement