Anda di sini

JPSM disaran ikuti perkembangan antarabangsa

Advertisement
MOHAMMAD (tengah) bersama Azmi, Gabriel, Rosalind dan Billy serta para pegawai kanan JPSM memotong kek ulang tahun ke-30 jabatan itu.
MOHAMMAD (tengah) bersama Azmi, Gabriel, Rosalind dan Billy serta para pegawai kanan JPSM memotong kek ulang tahun ke-30 jabatan itu.

KOTA KINABALU: Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) perlu terus memainkan peranan untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran di samping mengadaptasi perkembangan dan keperluan masa hadapan program latihan kemahiran yang ditawarkannya.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, bagi mempastikan kebolehpasaran belia negeri ini ke peringkat global, JPSM hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan di peringkat antarabangsa berkaitan perubahan dalam bidang kemahiran.

"Sebagai sebuah jabatan kerajaan yang mempunyai Pusat Latihan Kemahiran yang bertauliah dan telah wujud sejak sekian lama serta melahirkan ramai belia berkemahiran yang dapat memenuhi pasaran kerja tempatan, saya berpendapat bahawa JPSM perlu terus wujud meskipun mungkin dengan penjenamaan semula.

"Oleh itu, kajian perlu dilakukan berkaitan dengan kursus-kursus yang dikendalikannya sesuai dengan kedudukan Negeri Sabah yang mempunyai kekayaan alam semulajadi seperti hasil minyak dan gas.

"Adalah diharapkan agar semua agensi kerajaan yang terlibat dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran berfikir di luar kebiasaan atau di luar kotak dengan menjalinkan kolaborasi, usahasama dan kerjasama pintar dengan pihak-pihak berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun JPSM Ke-30 dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017, di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Mohammad Mohamarin. Turut hadir, Pengarah JPSM Azmi Salim serta mantan pengarah JPSM Datuk Gabriel William, Datuk Rosalind Chew dan Billy Yumbod.

Yusof berkata, beliau tertarik dengan visi JPSM, iaitu menjadi jabatan peneraju dalam penyampaian perkhidmatan latihan kemahiran di Sabah menjelang tahun 2030.
Sehubungan itu katanya, adalah diharapkan agar JPSM dapat merealisasikan visi itu menjelang tempoh yang telah dinyatakan.

Katanya, selaras dengan misi JPSM, iaitu menyediakan pelbagai program latihan kemahiran berkualiti bersesuaian dengan pasaran kerja, JPSM hendaklah sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi agar dapat melatih para belia mengikut keperluan semasa dan masa hadapan, agar kemahiran mereka dapat dipasarkan secara meluas sama ada di dalam mahu pun di luar negara.

MOHAMMAD memalu gong tanda perasmian Majlis Sambutan Ulang Tahun JPSM Ke-30 dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017.
MOHAMMAD memalu gong tanda perasmian Majlis Sambutan Ulang Tahun JPSM Ke-30 dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar JPSM mengadakan persefahaman dan kerjasama pintar dengan pemain industri berkaitan peluang-peluang latihan kemahiran sebagai langkah awal untuk menyediakan pekerja berkemahiran yang bakal mengisi kekosongan pekerjaan dalam industri-industri yang akan dibangunkan sejajar dengan dasar kerajaan.

Beliau juga berharap JPSM akan terus mempastikan peluang sama rata diberikan kepada belia tempatan di negeri ini khususnya yang tinggal di luar bandar dan dari keluarga yang berpendapatan rendah serta tercicir dalam bidang akademik untuk mendapatkan peluang latihan pelbagai kemahiran seperti mana amalan JPSM sebelum ini.

Yusof berkata, berdasarkan lawatannya ke ILTP JPSM Papar pada 9 Julai 2018, beliau merasa gembira kerana dimaklumkan bahawa lebih daripada 96 peratus graduan yang dilatih telah mendapat pekerjaan di mana ada juga sudah ditempah awal untuk bekerja meskipun pelatih berkenaan belum menamatkan latihan mereka.

"Ini menunjukkan JPSM berkemampuan untuk melahirkan modal insan yang kompeten dan diperlukan oleh industri.

"Namun kita sedar bahawa jumlah pelatih yang diambil adalah terhad disebabkan kemudahan prasarana tidak mencukupi. Oleh itu, kita perlu mencari pendekatan terbaik menangani perkara ini agar ILTP JPSM Papar dapat menampung lebih ramai pelatih," katanya.

Beliau juga menyarankan agar JPSM memantau kemajuan mantan pelatihnya melalui Alumni JPSM.

Katanya pemantauan, mantan pelatih pastinya akan merasa dihargai kerana terus diperhatikan meskipun sudah meninggalkan ILTP JPSM Papar. Mungkin juga mereka boleh berkongsi pandangan dan cadangan bagi menaikkan lagi mana dan imej JPSM.

Yusof mengucapkan syabas dan tahniah kepada JPSM yang menyambut Ulang Tahun Ke-30. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi Tahun 2017.

"Semoga pemberian anugerah ini mampu merangsang semua warga kerja JPSM agar terus memberikan perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan slogan Sentiasa Cemerlang.

"Setinggi-tinggi penghargaan turut dititipkan kepada semua mantan pengarah dan warga kerja JPSM yang telah berusaha bersama-sama menaikkan nama JPSM.

"Buat semua warga kerja yang masih berkhidmat pula, pesan saya, taburkanlah bakti anda melalui perkhidmatan yang cemerlang demi untuk anak bangsa Negeri Sabah," katanya.

Semantara itu, Pengarah JPSM Azmi Salim berkata, sejak penubuhan JPSM, jabatan itu telah melatih seramai 8,520 orang belia dalam bidang teknikal dan perdagangan melalui instututnya di Instutut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) di Pantai Manis Papar dan Kota Kinabalu.

"Keseluruhannya, JPSM telah melatih lebih daripada 34,135 orang termasuk yang dilatih melalui kaedah penajaan dan melantik penyedia latihan dari luar atau penyedia latihan swasta untuk melatih para belia," katanya.

  • oleh
  • Advertisement