
SEMPORNA: Pihak pemaju Taman Haji Hassan berisiko berhadapan tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa berikutan kegagalan mereka menyiapkan projek perumahan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, pihak pemaju perlu ada tanggungjawab dan jangan sesekali menyebabkan pembeli teraniaya.
“Pembeli bukan sahaja dipotong gaji bulanan sebelum ini tetapi apabila mereka yang sudah tamat perkhidmatan, kini pencen mereka turut dipotong untuk membayar rumah itu.
“Rumah mula dibina tahun 2012 dan dijanjikan siap pada 2014, namun sehingga kini rumah tidak siap dan berada dalam keadaan terbengkalai,” katanya ketika membuat tinjauan bersama para pembeli di Taman Haji Hassan, petang Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, duit pencen pembeli bukannya banyak dan sekiranya potongan sebulan lebih seribu ringgit maka pembeli tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menanggung kehidupan harian.
Sementara itu, wakil pembeli Saidi Miurah berkata, pihak pemaju sudah berjumpa dengan para pembeli beberapa kali selain memberikan janji serta jaminan untuk menyerahkan kunci pada April tahun ini.
“Perbincangan dengan pemaju telah diadakan dan berjanji serah kunci pada April lalu, tetapi tidak ada, kemudian janji lagi sebelum raya, tetapi sehingga kini masih tidak ada.
“Kesemua 48 unit di fasa pertama ini sudah dibeli bagaimanapun rumah yang didirikan ini tidak siap, tidak berkualiti dan terbengkalai.
“Harga rumah yang ditawarkan pula adalah RM188,000 sehingga RM252,000,” katanya.
Menurutnya, pemaju juga telah menjual fasa kedua projek berkenaan kepada pembeli namun tapak untuk fasa itu tidak wujud sehingga hari ini.
Katanya, pembeli keseluruhannya berasa kecewa selain tertipu dengan sikap pemaju yang tidak bertanggungjawab.