JOHOR BAHRU: Ar Rahnu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) merancang untuk membuka empat lagi cawangan baharu dalam tempoh terdekat, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Baharom Embi.
Beliau berkata, pembukaan cawangan baharu itu tertumpu di negeri yang masih belum menawarkan perkhidmatan tersebut.
“Kita menyasarkan setiap negeri ada satu cawangan, tetapi untuk masa terdekat ini, kita buka empat cawangan dahulu di negeri yang masih belum ada operasi perkhidmatan (Ar Rahnu TEKUN Nasional).
“Kita sedang menunggu kelulusan daripada anggota Lembaga Amanah TEKUN Nasional secepat mungkin (bagi tujuan itu),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan Ar Rahnu TEKUN Johor Bahru di sini, semalam.
Selain di Johor Bahru, cawangan lain yang telah dibuka ialah di Shah Alam, Wangsa Maju, Sentul, Semenyih, Alor Setar, Tawau dan Kota Bharu.
Produk Ar Rahnu TEKUN telah menyediakan pembiayaan melalui gadaian emas dengan lebih 8,713 transaksi yang berjumlah RM20.2 juta sejak beroperasi pada 2015 hingga Jun 2018.
Baharom berkata, skim pembiayaan melalui gadaian emas Ar Rahnu TEKUN kini menjadi pilihan ramai memandangkan ia menawarkan upah simpan sebanyak satu pertiga lebih rendah berbanding skim konvensional.
Selain pembiayaan menerusi gadaian emas, Ar Rahnu TEKUN juga menyediakan perkhidmatan mencuci barang kemas dan perkhidmatan menyimpan barangan emas dengan tawaran ujrah. — Bernama