Anda di sini

PPM Sandakan tahan dua lelaki miliki dadah

Advertisement
 DUA suspek yang ditahan PPM Sandakan dalam Ops Pensura Khas.
DUA suspek yang ditahan PPM Sandakan dalam Ops Pensura Khas.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki dipercayai memiliki dadah jenis syabu dalam operasi di kawasan Batu 9, Jalan Gereja di sini petang Ahad.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata kedua-dua suspek masing-masing berumur 43 dan 23 tahun, serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang semasa pihak PPM Sandakan menjalankan tugas Op Pensura Khas sebaik menerima maklumat mengenai pengedaran dadah di kawasan terbabit.

PISAU yang dirampas daripada salah seorang suspek.
PISAU yang dirampas daripada salah seorang suspek.

"Dalam tangkapan pertama (suspek 43 tahun), semasa intipan dibuat suspek dalam keadaan yang mencurigakan.

“ Pihak PPM menghampiri suspek dan memperkenalkan diri sebagai polis, bagaimanapun lelaki terbabit bertindak agresif menyerang anggota serbuan menggunakan sebilah pisau berukuran 17cm," katanya menambah, bagaimanapun suspek berjaya ditahan.

Yazib berkata, hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek, menjumpai satu beg kecil bertulis 'Kedai Emas Indah' di bahagian poket seluar sebelah kiri yang dipakai suspek.

Pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan terdapat dua paket plastik lutsinar, satu paket plastik di dalamnya mengandungi 13 paket plastik kecil pelbagai saiz dan satu paket plastik mengandungi ketulan-ketulan hablur disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu).

Anggaran berat syabu yang dirampas daripada suspek pertama adalah 1.76 gram bernilai RM200. Turut dirampas daripada suspek, sebilah pisau berukuran 17cm.

"Bagi tangkapan kedua (suspek 23 tahun), serbuan dilakukan di sebuah pondok atas bukit di kawasan yang sama.

"Semasa serbuan dijalankan, pasukan serbuan memperkenalkan diri sebagai anggota polis, dan suspek bertindak cuba melarikan diri lalu berlaku pergelutan dengan anggota serbuan sehingga lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kening sebalah kanan," katanya.

DADAH yang dirampas daripada suspek.
DADAH yang dirampas daripada suspek.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan fizikal ke atas tubuh suspek, menjumpai sebuah beg pinggang berwarna biru jenama Nike yang disandang lelaki terbabit.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg pinggang berkenaan menemui sebilah pisau berukuran 19cm,sebuah telefon bimbit jenama Nokia, satu bekas plastik warna ungu di dalamnya terdapat satu plastik warna kuning yang diubah suai mengandungi 73 paket plastik berisi ketulan-ketulan hablur disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu)," katanya.

Katanya, anggaran berat dadah yang dirampas adalah 9.41 gram bernilai RM1,000.

Yazib berkata, kedua-dua suspek diserahkan kepada Balai Polis Bandar Sandakan untuk tindakan lanjut oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sandakan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • oleh
  • Advertisement