Anda di sini

Ewon mahu Mesej ditambah nilai sesuai aspirasi rakyat

Advertisement
EWON bersama media yang menyertai lawatan kerja itu.
EWON bersama media yang menyertai lawatan kerja itu.

KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick mahu program pembasmian kemiskinan masyarakat luar bandar di negeri ini terutama Mini Estate Sejahtera (Mesej) ditambah nilai bagi meningkatkan keberkesanannya dalam mengurangkan kadar kemiskinan tegar.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan wawasan murni kerajaan itu dapat direalisasikan sesuai dengan aspirasi dan kehendak rakyat.

“Saya mahu para peserta program Mesej dapat mempelbagaikan ekonomi untuk mendapat pendapatan sampingan seperti aktiviti pertanian kontan dan perusahaan ternakan di kawasan Mesej.

“Oleh itu saya berharap para peserta dapat meningkatkan usaha dan tidak terlalu bergantung kepada satu sumber (Program Mesej) saja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dua hari di Mesej Getah Kampung Kotud Kota Marudu, Mesej Kelapa Sawit Kampung Tukar Pitas, Mesej Burung Walit Kg. Kiandut Pitas dan Program Kampung Sejahtera Kg.Kobon Pitas.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kedua-dua projek Mesej di Mesej Getah Kampung Kotud Kota Marudu dan Mesej Kelapa Sawit Kampung Tukar Pitas membuahkan hasil.

“Mesej Kelapa Sawit sudah mulai dituai dan Mesej Getah pula 60 peratus sudah boleh ditoreh tetapi belum lagi ada pemuktamadan pesertanya. Bila peserta sudah dimuktamadkan mereka terus mendapat hasil,” katanya.

Katanya lagi, jumlah miskin tegar dan miskin di kedua-dua daerah itu menunjukkan penurunan hasil peningkatan ekonomi termasuk Program Mesej yang dilaksanakan kerajaan.

“Bagaimanapun, kajian atau penilaian semula penting kerana terdapat program yang dilaksanakan sebelum ini tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Bagi kawasan Mesej yang sudah melibatkan peserta, saya mahu satu penilaian ke atas pendapatan sebenar peserta dibuat supaya kita boleh membuat analisa yang lebih terperinci samada program-program Mesej ini benar-benar berjaya atau sebaliknya,” katanya.

Ewon berkata, Program Mesej di Kota Marudu dan Pitas mencapai kejayaan yang baik dan berharap usaha itu dapat dipertingkatkan lagi bagi memastikan lebih ramai peserta program itu keluar daripada garis kemiskinan tegar dan miskin.

Bilangan penduduk Kota Marudu yang tersenarai dalam e-kasih pada Januari 2018 ialah 3,401 dan pada Jun 2018 bertambah ke 3,550. Dari segi perbezaan antara miskin tegar dan miskin, pada Jan 2018 terdapat seramai 2,234 miskin tegar dan 1,167 miskin manakala pada Jun 2018 pula bilangan miskin tegar berkurangan kepada 1,968 dan miskin 1,582 orang.

Mesej Kotud Kota Marudu bakal disertai 33 Ketua Isi Rumah (KIR), terletak 10.8 kilometer dari Pekan Kota Marudu dan boleh dihubungi melalui jalan Kotud (gravel sejauh 6.8 kilometer dari jalan utama).

Advertisement