Anda di sini

2,000 ahli KRT Labuan sedia 22,500 biji kelupis

Advertisement
FARID (3 kanan), Aldrina (2 kiri), Rozman (kanan) bersama Mimie (4 kiri) menerima sijil daripada wakil Malaysia Book Of Records, Siti Hajar Johor.
FARID (3 kanan), Aldrina (2 kiri), Rozman (kanan) bersama Mimie (4 kiri) menerima sijil daripada wakil Malaysia Book Of Records, Siti Hajar Johor.

LABUAN: Kelupis bukan sahaja menjadi juadah istimewa bagi suku kaum Kedayan dan Brunei di negara ini tetapi makanan yang berasaskan beras pulut ini juga mampu menjadi medium penyatuan masyarakat berbilang kaum.

Cara penyediaannya yang sering dilakukan secara bergotong-royong bukan sahaja menjalinkan perpaduan malah mampu mencatat sejarah tersendiri seperti mana yang dibuktikan oleh 35 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Wilayah Persekutuan Labuan apabila berjaya mencatat rekod jalinan kelupis terpanjang di dunia.

Menurut Pengerusi KRT Kampung Sungai Miri/Pagar, Rasibah Wan Imang, kerjasama seramai 2,000 ahli KRT seluruh Labuan dan penduduk kampung berjaya merealisasikan sasaran untuk membuat rekod dalam Malaysia Book Of Record.

"Kami sangat berpuas hati dengan pencapaian pada hari ini kerana berjaya mencatat rekod jalinan kelupis terpanjang di Malaysia.

"Kerjasama yang ditunjukkan bukan sahaja berjaya memadam rekod lama tetapi berjaya melebihi sasaran awal kami iaitu sepanjang 720 meter,"katanya.

Rasibah turut berkongsi cabaran menyediakan kelupis terpanjang di Malaysia dengan menggunakan 100 peratus bahan yang asli.

"Semua kelupis hari ini kami proses mengikut cara lama dan bahan-bahan termasuk santan kami proses sendiri daripada kira-kira 600 biji kelapa.

22,500 biji kelupis yang siap untuk dinilai wakil Malaysia Book of Record.
22,500 biji kelupis yang siap untuk dinilai wakil Malaysia Book of Record.

"Hampir 600 kilogram beras pulut dan 30,000 helai daun nyirik digunakan untuk menghasilkan kelupis pada hari ini,"katanya.

Beliau turut berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan sekaligus dapat memadam rekod yang tercatat pada hari Ahad lalu.

Advertisement