Anda di sini

MAFI positif mahu wujudkan semula LPS

Advertisement
JUNZ WONG
JUNZ WONG

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI) memandang positif berkaitan cadangan untuk mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS).

Menterinya Junz Wong berkata, bagaimanapun, pasukan teknikal akan ditubuhkan bagi melihat serta mengkaji setiap aspek dan cadangan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kementerian akan melihat sebab mengapa LPS sebelum ini dibubarkan kerana keperluan tenaga kerja dan modal kewangan sangat penting dalam menubuhkan semula lembaga ini.

"Meskipun begitu, saya bersetuju bahawa pembentukan semula LPS yang dibubarkan pada tahun 1981 adalah amat penting bagi pembangunan luar bandar seterusnya menaikkan kesejahteraan petani yang mengusahakan padi," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Junz berkata, sebelum pembubaran LPS, Sabah mencapai pengeluaran beras sebanyak 70 peratus jika dibandingkan sekarang yang hanya sekitar 26 peratus.

Bahkan katanya, isu alam sekitar turut memberi kesan buruk terhadap pengeluaran beras global.

Justeru, pihaknya memandang serius dan terpanggil untuk menubuhkan semula LPS memandangkan beras adalah komoditi keselamatan strategik kerana ia adalah makanan asasi rakyat di negara ini.

"Walau bagaimanapun, kita perlu melihat banyak aspek termasuklah pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan import beras.

"Oleh kerana air adalah komponen terpenting dalam pengeluaran beras, kita juga perlu memperbaharui serta meningkatkan sistem pengairan sekiranya ingin menubuhkan semula LPS," katanya.

Katanya, aspek teknologi baharu bagi pengeluaran beras seperti System Rice Intensification (SRI) yang diamalkan di negara jiran Indonesia juga perlu diambil kira.

Selain itu katanya, penggunaan tanah, saiz dan sistem tenure juga perlu dipertingkat serta diperluaskan.

"Setakat ini, kawasan padi sedia ada di Sabah adalah di kawasan Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Papar, Tambunan, dan Keningau.

" Manakala,terdapat juga kawasan lain yang berpotensi untuk dibangunkan seperti Sook, Trusan Sapi dan Kinabatangan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement