Anda di sini

Potong elektrik: Tiba masa SESB, 1B duduk bersama

Advertisement
SHAFIE.
SHAFIE.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu isu pemotongan bekalan elektrik di pusat membeli belah 1Borneo disini diselesaikan segera.

Beliau berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak Sabah Electrik Sdn Bhd (SESB) dan pihak pengurusan 1Borneo supaya mengadakan perbincangan bersama untuk mencari jalan penyelesaian masalah berkenaan.

“Ia merupakan masalah lama yang tertunggak yang dihadapi oleh 1Borneo, ia sepatutnya  diselesaikan sebelum ini, saya rasa tiba masanya bagi mereka untuk duduk bersama dan menyelesaikan masalah itu tanpa perlu meminta kerajaan negeri campur tangan ," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata dengan perbincangan itu diharap akan dapat membantu premis perniagaan di pusat membeli belah itu beroperasi seperti sediakala.

Baru-baru ini SESB telah memotong bekalan elektrik ke pusat membeli belah itu berikutan tunggakan bil elektrik lebih daripada RM8.7 juta.

Pemotongan itu dibuat selepas beberapa notis telah dikeluarkan terhadap pihak pengurusan 1Borneo namun gagal menjelaskan bil yang tertunggak.

Dalam perkembangan lain Mohd Shafie berkata kerajaan akan membuat keputusan dalam jangka masa terdekat mengenai projek Tanjung Aru Eco Development (TAED)  di kawasan seluas 348 ekar.

Beliau berkata sebelum projek itu diteruskan beberapa perkara perlu diteliti dengan mengimbangi kehendak rakyat dan pembangunan di Sabah.-Bernama.

Advertisement