Anda di sini

Pelantikan Ketua Hakim Negara, penghormatan tertinggi kepada Sabah

Advertisement
JEMPUTAN mengambil kesempatan untuk merakamkan kenangan bersama Uda.
JEMPUTAN mengambil kesempatan untuk merakamkan kenangan bersama Uda.

PUTATAN: Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Uda Sulai berkata pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara merupakan penghormatan paling tinggi kepada rakyat Sabah.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tun Mahathir dengan pelantikan Tan Sri Richard dan ia merupakan satu penghormatan khasnya di Putatan kerana Tan Sri merupakan anak jati di sini.

"Kami sangat berbangga dengan pelantikan itu yang memang sudah lama dinantikan kerana Tan Sri sememangnya layak dilantik sebagai Ketua Hakim,"katanya.

Menurutnya, sewajarnya rakyat tidak perlu merasa bimbang dengan pelantikan tersebut kerana Perlembagaan Malaysia sudah ditetapkan Agama Islam itu agama rasmi dan agama lain juga bebas di amalkan di negara ini.

"Jika kita ikut perlembagaan,  tidak ada sebab kita perlu bimbang kerana di Sabah sekarang ini tidak timbul isu kebimbangan dengan agama.

"Malahan kami yang juga mengembangkan agama Islam dengan dakwah melalui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) tidak nampak ada kebimbangan pada masyarakat dalam soal ini,"kata Uda yang juga merupakan Ketua Usia Bahagian Penampang.

Uda juga merasakan pelantikan Tan Sri Richard merupakan satu kelebihan kepada Sabah dan Sarawak dalam Hal Ehwal Anak Negeri.

Uda ditemui dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri hampir 100 orang ahli Usia pada Jumaat malam.

Katanya, Usia merupakan pertubuhan Islam yang menumpukan kegiatan dakwah, menggalakkan setiap cawangannya untuk bekerjasama dengan masjid-masjid untuk mengadakan dakwah dan kuliah agama setiap malam.

Turut hadir, Pengerusi Tetap Ibrahim Detmat, Timbalan Ketua Bahagian Datuk Haji Matin Haji Pandin, Ketua Wanita Hajah Nanih Abah dan Ketua Belia Ustaz Jadmin Hj Mohd Soon.- Unit MAMS, Penerangan.

Advertisement