Anda di sini

MTIB bakal anggotai pasukan petugas khas industri kayu-kayan Sabah

Advertisement

KOTA  KINABALU: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan dibawa masuk menganggotai pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan industri kayu-kayan  di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata MTIB akan memainkan peranan penting dalam pasukan petugas khas itu termasuk perbincangan mengenai penyediaan kertas kabinet untuk mencadangkan agar kerajaan mengharamkan terus pengeksportan kayu balak dari Sabah.

Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata pengharaman sementara pengeksportan kayu balak seperti diumumkan sebelum ini, mungkin perlu diperkuatkan lagi bagi menarik perhatian pelabur luar untuk melabur dalam industri hiliran berasaskan kayu di negeri berkenaan.     

“Kita sedang meneliti perkara ini tentang bagaimana untuk menjadikan pengharaman eksport balak ini sebagai kekal. Pengharaman kekal akan memberi banyak keselesaan kepada pelabur dari seluruh dunia untuk datang ke Sabah,” katanya.

Tangau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah MTIB Datuk Jalaluddin Harun. Turut membuat kunjungan hormat ke atas Tangau kelmarin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Tangau berkata sebelum ini, kerajaan pernah mengharamkan pengeksportan balak di Sabah dan langkah tersebut menarik pelabur luar mengembangkan perusahaan pembuatan perabot mereka di negeri ini, namun pelabur terbabit berdepan masalah bekalan bahan mentah (kayu balak) apabila pengharaman itu ditarik balik.

Justeru, beliau berkata pihaknya melalui pasukan petugas khas berkenaan akan berbincang dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pengeluaran balak, pemain industri perabot  serta MTIB sendiri, dalam menyediakan kertas kerja untuk dibincangkan di Kabinet Negeri.

Katanya pengeluaran industri perabot di negeri ini mengalami penurunan amat ketara tahun demi tahun dan salah satu puncanya ialah ketidakselarasan antara pemain industri dengan bekalan bahan mentah (kayu balak) di Sabah.

Sebagai contoh, beliau berkata pemain industri perabot di Sabah memerlukan bekalan kayu spesies acacia mangium, namun bahan mentah berkenaan di eksport ke Vietnam sehingga menyebabkan kekurangan bekalan untuk industri hiliran tempatan.

Menurut Tangau, pihaknya turut berbincang dengan MTIB berhubung potensi besar Sabah untuk menghasilkan  pelbagai produk berasaskan batang kelapa sawit memandangkan  Sabah memiliki kawasan seluas 1.55 juta hektar yang ditanam dengan bahan komoditi itu.

Katanya produk berasaskan batang kelapa sawit berpotensi diterokai pelabur memandangkan teknologi berkaitan produk menggunakan bahan mentah itu serta pasarannya sudah tersedia. — Bernama

Advertisement