Anda di sini

KPLB Sabah, Persekutuan akan bincang

Advertisement

 Untuk ketahui status sebenar projek pembangunan luar bandar di Sabah

PITAS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan mengadakan perbincangan bersama KPLB Persekutuan untuk mengetahui status sebenar beberapa projek pembangunan luar bandar di Sabah termasuk Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dirancang kerajaan terdahulu.

Menterinya Ewon Benedick berkata, ini penting bagi memastikan program pembangunan luar bandar termasuk kemudahan asas seperti Bekalan Air Bersih Luar Bandar (BALB), Jalan Luar Bandar (JALB) dan BELB benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar di negeri ini.

EWON (tengah) mendengar aduan penduduk kampung mengenai masalah jalan raya dan bekalan elektrik di Kg.Kobon Pitas.
EWON (tengah) mendengar aduan penduduk kampung mengenai masalah jalan raya dan bekalan elektrik di Kg.Kobon Pitas.

“Melalui perbincangan saya dengan Menteri KPLB Persekutuan Rina Harun semasa kunjungan baru-baru ini, kita bersetuju perlu ada perkongsian maklumat, persefahaman dan kerjasama erat antara kedua-dua kementerian bagi memudahkan pelaksanaan sesuatu program pembangunan luar bandar.

“Sebab itu saya telah meminta semua pegawai daerah seluruh Sabah supaya memaklumkan kepada saya projek pembangunan yang dibiayai kementerian persekutuan sebelum ini yang tidak melalui KPLB Sabah.

“Ini penting agar KPLB Sabah dapat menyelaraskan semua program yang dilaksanakan atau dirancang oleh KPLB Persekutuan untuk masyarakat luar bandar di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kampung Kobon Pitas, di sini, pada Sabtu.

Kampung itu adalah antara kampung yang dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera KPLB Sabah.

Turut serta dalam lawatan kerja itu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Hj. Dumi Pg Masdal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas Datuk Bolkiah Ismail, Timbalan Setiusaha Tetap KPLB Sualim Sanan dan Pegawai Daerah Pitas Bubudan OT  Majalu.

Advertisement